Saya ingin meminta Menteri Kewangan memberi penjelasan tentang yuran pemprosesan cek sebanyak 50 sen yang akan diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia. Ini adalah selain daripada 15 sen duti setem yang sedia dikenakan bagi setiap cek. Ini akan menyebabkan kos menjalankan perniagaan melonjak sebanyak RM100 juta. Pelaksanaan yuran baru ini telah ditunda dari 1 April 2014 ke 1 Januari 2015.
Caj baru bagi pindahan wang antara bank, Interbank GIRO (IBG), juga telah dikurangkan dari RM2 ke 10 sen mulai dari 2 Mei 2013. Rasional untuk caj baru ini adalah untuk mengurangkan penggunaan cek kertas dan menggalakkan penggunaan pemindahan elektronik. E-pembayaran ini bertujuan menjadikan kos pemindahan wang lebih murah, pantas dan kos efektif.
Caj baru ini sepatutnya telah bermula pada 1 April 2014 tetapi telah ditunda ke 2 Januari 2015. Ini kerana hanya 65% daripada agensi-agensi kerajaan sudah bersedia untuk menerima e-pembayaran. Tambahan pula terdapat penentangan besar terhadap langkah ini dari dewan-dewan perniagaan, badan-badan industri dan persatuan pengguna.
Dalam jawapannya kepada soalan saya, Menteri Kewangan menyatakan bahawa sejak caj IBG yang baru sebanyak 10 sen diperkenalkan, transaksi melalui IBG menunjukkan peningkatan yang sangat menggalakkan, di mana ia telah meningkat tiga kali ganda daripada 2% kepada 6%. Orang ramai dan perniagaan telah mendapat manfaat daripada penjimatan sebanyak RM 129 juta dari Mei 2013 hingga Jun 2014 melalui penggunaan IBG. Dalam tempoh yang sama, bilangan cek yang dikeluarkan menurun pada kadar yang lebih cepat, iaitu setinggi 9.8% pada separuh kedua tahun 2014 berbanding hanya 2% pada separuh pertama tahun 2013. Semua ini berlaku sebelum bayaran pemprosesan cek 50 sen baru diperkenalkan.
Adalah jelas bahawa caj IBG yang tinggi sebelum ini adalah punca utama mengapa sistem e-pembayaran tidak diterima pakai lebih awal sebelum ini. Yuran pemprosesan cek sebanyak 50 sen adalah sama sekali tidak perlu kecuali untuk menambah pendapatan berterusan bank-bank yang mempunyai gabungan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM29.8 bilion pada tahun 2013. Pada tahun ini, bank-bank menjangkakan memperoleh keuntungan yang lebih tinggi dan satu lagi tahun rekod baru keuntungan. Ekoran ini pelanggan bank sepatutnya menerima habuan perkhidmatan yang lebih baik dan kos perkhidmatan yang lebih rendah. Sebaliknya bank-bank dilihat lebih tamak mahu menghukum orang ramai yang berdepan dengan peningkatan kos hidup dan perniagaan masih belum pulih sepenuhnya daripada peningkatan kos menjalankan perniagaan dengan mengenakan bayaran pemprosesan cek yang baru!
Kita harus juga sedar bahawa
- Bukan semua orang celik komputer untuk mengendalikan e-pembayaran,
- Bukan semua orang mempunyai akses kepada komputer atau sambungan internet,
- Kos pembelian komputer dan menyambung ke internet akan menelan belanja tambahan beberapa ribu ringgit seminimumnya,
- e-pembayaran biasanya mempunyai had harian yang rendah seperti RM5000 sahaja
- Kelajuan sambungan internet dan liputan kawasan masih belum memuaskan di banyak tempat di negara ini,
- Keselamatan perbankan internet boleh dipersoalkan berdasarkan beberapa insiden akhir-akhir ini, dan
- Bagi perniagaan, cek sering kali memerlukan tanda tangan oleh dua orang pengarah.
Bagaimanakah ini harus dilakukan oleh dua orang pengarah di talian?
Malangnya, peraturan baru ini mungkin membawa kepada lebih ramai orang yang kembali kepada bayaran tunai berbanding e-pembayaran. Kita akan melihat peningkatan balik yang mendadak dalam urus niaga tunai dan ini sememangnya satu langkah ke belakang untuk negara.
Saya dengan ini mendesak Menteri Kewangan, Bank Negara dan Persatuan Bank-Bank Malaysia untuk membatalkan yuran pemprosesan cek yang baru ini demi kepentingan rakyat dan perniagaan.