Skip to content

Beri rakyat Malaysia peluang yang sama seperti industri di bawah PIKAS untuk membayar kos operasi RM 45 setiap dos bagi mendapatkan vaksinasi awal

Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin mengumumkan tambahan RM1 bilion untuk membeli vaksin COVID-19 dan membiayai kos yang berkaitan dalam pakej Pemulih semalam, menjadikan jumlah kos pembelian dan pelaksanaan program imunisasi sebanyak RM6 bilion. Kerajaan PN perlu memastikan jumlah perbelanjaan sebanyak RM 6 bilion dibelanjakan sebaiknya, dengan membenarkan rakyat Malaysia yang mampu boleh membayar kos operasi pada RM45 setiap dos, bagi mendapatkan vaksin untuk membantu mempercepat kadar vaksinasi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed telah meminta maaf kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) terhadap larangan makan di kedai makan, di sebuah kafe di kawasan parlimennya di Jeli. Mustapa bukanlah Menteri pertama yang secara terbuka melanggar SOP yang ditetapkan mereka sendiri, berikutan tindakan sama oleh Menteri Kabinet lain seperti Azmin Ali, Annuar Musa, Zuraida Kamaruddin dan Mohd Khairuddin Aman Razali serta Timbalan-Timbalan Menteri lain. Malah Perdana Menteri sendiri didapati melanggar SOP kerana tidak memakai pelitup muka.

Kegagalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “total lockdown” dan Darurat untuk membendung dan mengawal kenaikan jangkitan tertinggi COVID-19 dan angka kematian, adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan untuk mematuhi sekatan PKP, dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP COVID-19 serta amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat. Oleh kerana Kerajaan PN telah benar-benar gagal menangani pandemik dan krisis ekonomi yang berlaku berikutnya, vaksinasi adalah satu-satunya jalan keluar.

Walaupun dengan peningkatan kadar vaksinasi, masih terdapat permintaan untuk vaksin seperti di Pulau Pinang apabila berlaku ketidaktentuan jumlah vaksinisasi harian. Pada 27 Jun hanya 3,009 vaksinasi direkodkan di Pulau Pinang, No. 11 dari 16 “lokasi negeri” sebelum meningkat ke No. 4 dengan 12,325 vaksinasi pada 28 Jun. Atas sebab ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin harus campur tangan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri untuk memberikan peluang yang sama kepada rakyat Malaysia seperti industri di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) bagi mendapatkan vaksin lebih awal dengan membayar kos operasi pada kadar RM45 setiap dos.

Khairy mengatakan bahawa kerajaan memberikan vaksin secara percuma dan syarikat menanggung kos operasi caj vaksinasi oleh ProtectHealth. Rakyat Malaysia biasa yang mampu, sanggup membayar kos operasi sebanyak RM45 setiap dos untuk mendapatkan vaksin secara percuma. ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada 19 Disember 2016 dan merupakan syarikat yang tidak berasaskan keuntungan yang menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan kesihatan.

Sekiranya syarikat boleh mendapatkan vaksin lebih awal untuk mengimunisasi pekerja mereka lebih awal, termasuk pekerja asing, dengan membayar kos operasi sebanyak RM45 setiap dos, maka rakyat Malaysia juga harus diberi peluang yang sama untuk mendapatkan vaksin tersebut. Kegagalan untuk melakukannya akan menambah lagi kritikan negatif terhadap layanan berbeza oleh Kerajaan PN terhadap rakyat Malaysia.