Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memberi kelonggaran kepada pembekal yang daripada golongan perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk pembaharuan sijil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dalam sistem E-perolehan.
Kelonggaran yang dicadangkan adalah untuk tidak mewajibkan dokumentasi sewa atau pemilikan premis perniagaan atau pejabat. Ini adalah kerana sekiranya dokumentasi tersebut diperlukan, lesen komposit daripada pihak berkuasa tempatan akan juga perlu disertakan.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sepanjang 2020 dan 2021 hanya merugikan pembayaran sewa premis pejabat atau perniagaan kerana tidak digunakan sepenuhnya sehingga PKS terpaksa memindahkan operasi bekerja dari rumah (BDR) terutamanya dalam bidang perundingan melibatkan teknologi atau pemasaran di mana hanya komputer riba diperlukan yang dianggap sebagai ‘pejabat’ bagi kebanyakan usahawan dan eksekutif. Oleh yang demikian, dengan pemindahan operasi ke rumah pemilik PKS, lesen komposit tidak dapat diberikan.
Situasi ini merumitkan keadaan bagi PKS kerana sekiranya mereka terpaksa memperbaharui sijil MOF, mereka tidak dapat menyertakan kenyataan sewa premis sekaligus tidak dapat sertakan lesen komposit PBT.
Walaupun ‘co-working space’ boleh digunakan sebagai premis pejabat dan diberi lesen komposit, kebanyakan PKS belum lagi bersedia untuk menyewa sekali lagi. Lagipun ‘co-working space’ baru saja dibuka.
MOF harus mengambil maklum bahawa suku terakhir 2021 baru sahaja bermula, kebanyakan PKS ingin memulakan semula operasi secara beransur supaya boleh pulih sepenuhnya dan bersedia menghadapi tahun 2022 secara ‘full swing’. Kebanyakan PKS ingin mengambil peluang untuk menjadi pembekal kepada kerajaan sekiranya diberi peluang tanpa mengira nilai pembekalan. Bagi syarikat PKS, mempunyai sijil MOF juga membuka peluang secara tidak langsung sebagai pembekal kepada syarikat swasta juga.
Oleh yang demikian, MOF dicadangkan untuk memberikan kelonggaran dokumentasi tersebut bagi pembaharuan Sijil MOF bagi tahun 2021 dan 2022 bagi bidang perunding bukan fizikal atau jenis profesion membolehkan operasi daripada rumah.