Skip to content

Berita Sinchew mengenai pendirian DAP Selangor terhadap kedudukan kerajaan negeri Selangor adalah tidak tepat dan amat mengelirukan

Berita Sinchew yang diterbitkan pada hari Khamis dan selepas itu diterjemah kepada bahasa Malaysia dan Inggeris mengenai pendirian DAP Selangor adalah tidak tepat dan amat mengelirukan.

Laporan yang diterbitkan oleh suratkhabar tersebut mengenai mesyuarat DAP Selangor pada hari Selasa langsung tidak mencerminkan semangat dan pandangan yang dihujahkan oleh ahli-ahli jawatankuasa.

Malangnya, wartawan Sinchew yang cukup merundung pada hari Rabu itu, enggan menerima jawapan ringkas saya bahawa keputusan mesyuarat adalah supaya kami dapat berbincang segalanya dengan Dato’ Menteri Besar secepat mungkin. Walaupun saya tidak melayan soalan-soalannya, beliau terus menulis cerita menurut sumber-sumber misteri yang tidak dinamakan.

DAP Selangor dengan sebulat suara mengambil keputusan supaya tidak berniat menjejaskan kerajaan negeri Selangor dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor adalah “last resort” yang langsung tidak diingini.

Saya ingin menegaskan sekali lagi di sini bahawa mesyuarat DAP Selangor telah mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian untuk dibincang dengan Dato’ Menteri Besar. Kami juga mengambil pendirian untuk sedia mendengar cadangan-cadangan daripada beliau.

Dengan tidak wujud lagi kerajaan Pakatan Rakyat, kami mengalu-alukan sebuah “Kerajaan Gabungan Negeri Selangor” (Selangor Coalition Government) yang baru. Gabungan ini perlulah berasas secara menyeluruh kepada Kerangka Dasar Bersama (Common Policy Framework) dan manifesto kerajaan Selangor yang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihanraya yang lalu.

Kami mengalu-alukan Kerajaan Gabungan ini bersama dengan PKR dan mana-mana pihak lain yang sedia berkerjasama politik antara satu sama lain secara rasmi, untuk mencapai matlamat tersebut.

Oleh sebab itu, perjumpaan antara DAP Selangor dengan Dato’ Menteri Besar adalah amat penting dan perlu disegerakan untuk menyelesaikan kemelut politik ini secepat mungkin. Selagi mesyuarat ini belum diadakan, tidak hairanlah jika ada pihak-pihak yang ingin mencetuskan sangkaan buruk di dalam media massa arus perdana. Permintaan ini telah disampaikan kepada Dato’ Menteri Besar pada hari Khamis yang lalu dan kami kini menunggu penetapan tarikh dan masa daripada pejabat beliau.