Skip to content

Bersedekah pada bulan Ramadan bukan jenayah, malah amal kebaikan yang membawa kebaikan berterusan Tengku Adnan mesti bertaubat

Pada hari Jumaat pertama di bulan yang mulia Ramadan al-mubarak ini, saya rasa begitu pelik melihat seorang menteri Umno beragama Islam secara tiba-tiba mengisytihar perang terhadap amal kebaikan, bersedekah dan memberi makan fakir miskin.

Tidakkah Tengku Adnan tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu daripada amalan yang menjadi peninggalan anak Adam apabila ia meninggal dunia nanti.

Rakan-rakan Melayu dalam DAP dan PAS mengajarkan kepada saya bahawa, apabila matinya seseorang muslim, terputuslah darinya semua perkara kecuali tiga: iaitu anak yang baik yang mendoakannya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah.

Sangat mengejutkan sekali apabila seorang menteri sebuah parti yang mendakwa mendahulukan rakyat, ternyata tidak pun mempedulikan nasib rakyat miskin malah mahu menghukum mereka pula. Bukan itu sahaja, mereka yang menderma juga mahu disamannya.

Ini sangat luar biasa. Saya belum pernah melihat seorang muslim yang begitu keras hatinya sehingga sanggup mengeluarkan arahan sebegini dangkal di bulan yang mulia ini, di waktu umat Islam berlumba-lumba membuat amal kebajikan.

Tengku Adnan barangkali alah dengan golongan miskin dan gelandangan sehinggakan terpaksa mereka-reka langkah untuk memastikan mereka ini keluar dari kawasan pentadbirannya di Wilayah Persekutuan.

Sebagai Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan saya mengecam keras sikap dan pendirian Tengku Adnan yang tidak berperikemanusiaan, dan saya akan memastikan bahawa nasib orang miskin dan gelandangan tetap dibela dan mereka tidak lagi perlu kerap menanggung lapar dahaga.

Langkah Ku Nan untuk mengambil menghalau aktivis yang berusaha memberi makan kepada gelandangan dan miskin bandar amat-amat memalukan. Alasannya untuk ‘membersihkan’ ibu kota daripada golongan ini ternyata menunjukkan bahawa Ku Nan memandang jijik golongan miskin dan gelandangan. Kenapa begitu dingin sekali hati beliau?

Justeru saya menggesa Ku Nan untuk menggunakan peluang di bulan yang mulia ini untuk bertaubat dan menarik balik arahannya yang begitu tidak berperikemanusiaan. Semoga beliau tidak berakhir seperti watak ciptaan Charles Dickens, Ebenezer Scrooge yang tidak menyukai fakir miskin. Semoga Ku Nan mendapat hidayah.