Skip to content

Bertindak sekarang tangani krisis tiga berganda COVID-19, kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan politik tidak boleh menunggu tiga bulan, dua bulan atau sehingga September ketika lebih banyak nyawa dan mata pencarian akan hilang

Kerajaan PN yang tidak sah ini perlu bertindak sekarang menangani krisis tiga berganda COVID-19, kemelesetan ekonomi, dan ketidakstabilan politik. Selagi mereka masih memegang kuasa, Menteri PN mempunyai tanggungjawab untuk bertindak dan tidak boleh menunggu tiga bulan, dua bulan atau bahkan hingga bulan September apabila lebih banyak nyawa dan mata pencarian akan hilang. Sama seperti usul undi percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin yang perlu dilakukan segera dan tidak menunggu hingga bulan September, kerajaan tidak boleh berlengah dalam menyelesaikan krisis kesihatan awam dan ekonomi.

Malaysia mencatat rekod tertinggi 19,819 kes COVID-19 dan 257 kematian semalam dengan jumlah terkumpul 1,183,110 kes dan angka kematian menjadi 9,855. Walaupun bersetuju bahawa imunisasi adalah bentuk perlindungan terbaik, kerajaan tidak bersedia membelanjakan tambahan RM1.5 bilion untuk membeli 11.2 juta dos vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga dengan segera.

Pembelian 11.2 juta dos sekarang dapat memastikan bahawa Malaysia memiliki cukup vaksin untuk mengimunisasi seluruh 19 juta penduduk dewasa yang telah mendaftar, tanpa menunggu dua hingga tiga bulan lagi sehingga bekalan dihantar. Nyawa dan mata pencarian yang tidak terkira akan hilang jika kita menunggu dua hingga tiga bulan lagi untuk vaksin Pfizer tiba, sedangkan kita boleh membeli vaksin Sinovac yang diperlukan sekarang.

Kerajaan PN harus membuat perkara yang sama di seluruh negara seperti Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) Lembah Klang di mana pada 3 Ogos, 97.8% penduduk dewasa telah menerima dos vaksin pertama. Sekiranya Kerajaan PN boleh melakukannya untuk Lembah Klang, mengapa tidak mengulanginya untuk seluruh negara? Elemen penting ialah meletakkan kepakaran profesional melebihi politik kepartian dan kesediaan untuk mendengar pandangan yang berbeza seperti yang dilakukan ketika bekas Timbalan Menteri DAP dan Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming dilantik sebagai penyelaras OSC untuk Selangor.

Petunjuk utama Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan IHS Markit Malaysia, berada pada tahap 40.1 yang merisaukan pada Julai 2021 hampir tidak berubah daripada paras terendah 39.9 pada bulan Jun 2021. Prestasi Malaysia bahkan lebih rendah daripada PMI 44.6 pada bulan Julai bagi seluruh ASEAN. Ini merupakan amaran yang jelas bahawa perniagaan dan pekerja Malaysia tidak lagi dapat menanggung tekanan daripada lebih RM500 bilion kerugian ekonomi yang dialami sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama dilaksanakan pada bulan Mac tahun lalu.

Daripada menunggu Pelan Pemulihan Negara diluluskan dalam satu atau dua bulan lagi, bertindak sekarang dengan menyuntik dana langsung RM45 bilion. RM45 bilion ini dapat meningkatkan bantuan bulan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk penganggur; RM6 bilion insentif upah dan pengambilan pekerja bagi mewujudkan 300,000 pekerjaan baru; RM30 bilion dalam bentuk geran kewangan, insentif kewangan dan subsidi upah, sewa serta utiliti sebanyak bagi membantu perniagaan terutamanya industri pelancongan dan hospitaliti untuk terus hidup; RM4 bilion untuk sistem sokongan kesihatan, katil dan kemudahan hospital serta meningkatkan program vaksinasi.

Memandangkan keuntungan yang sihat, industri perbankan perlu menawarkan tanggungjawab sosial korporat dengan berkongsi beban dengan peminjam dan diarahkan untuk memansuhkan faedah ke atas moratorium automatik pinjaman bank sehingga akhir tahun, kecuali untuk Kumpulan 10 Teratas. Langkah-langkah ini berserta dengan pembukaan semula ekonomi perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk menunjukkan keikhlasan PN dalam menginginkan usaha keseluruhan masyarakat untuk menguruskan krisis ekonomi.