Skip to content

Bila rakyat Malaysia boleh kembali mencari rezeki dan membuka perniagaan seperti kilang-kilang?

Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) “total lockdown” telah menimbulkan ketidakpuasan orang ramai, terutamanya layanan yang berbeza di kalangan sektor ekonomi yang perniagaannya terganggu dan terjejas. Tidak siapa yang tahu bila “total lockdown” akan berakhir dengan jumlah jangkitan baharu harian yang tinggi, kebanyakannya dari kluster tempat kerja kilang. Setakat ini, kerajaan tidak dapat menjawab persoalan asas mengapa semua perniagaan tidak dapat dilayan secara adil dan saksama.

Kilang-kilang di sektor ekonomi tertentu yang dianggap perlu (essential), jika didapati wujud kes COVID-19 akan diperintahkan untuk ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu bagi kes jangkitan yang besar, dan kemudian dibenarkan dibuka semulanselepas proses sanitasi. Walau bagaimanapun, perniagaan lain yang dianggap bukan keperluan utama (non-essential) tidak dibenarkan dibuka sepanjang PKP “total lockdown” walaupun tidak mencatatkan satu pun jangkitan COVID-19. Ini seakan menghukum amalan baik dan tidak sepatutnya berlaku.

Daripada membenarkan beberapa Kementerian mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan secara sewenang-wenangnya sektor ekonomi mana yang perlu, dan kemudiannya membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, semua perniagaan harus dilayan dengan sama untuk dibenarkan beroperasi seperti kilang. Perniagaan perlu tertakluk kepada SOP yang sama seperti kilang di mana mereka perlu ditutup selama beberapa hari dan kemudian dibenarkan dibuka selepas proses sanitasi.

Dalam pertempuran antara menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, keputusan seperti ini tidak mudah. Walaupun tidak siapa yang meragui bahawa usaha menyelamatkan nyawa harus diutamakan, kerajaan jangan boleh lupa bahawa kehilangan mata pencarian boleh menghancurkan kehidupan sehinggakan ada yang membunuh diri. Ini tidak termasuk kehidupan ramai orang yang selama-lamanya berubah menjadi lebih teruk berikutan kehilangan mata pencarian mereka.

Siapa yang dapat menjawab pertanyaan bila rakyat Malaysia dapat mencari rezeki dengan mengoperasikan perniagaan mereka seperti kilang? Adakah Malaysia sudah tidak ada kepimpinan negara atau kerajaan yang beroperasi?