Skip to content

Bilakah kamera badan akan dikuatkuasakan?

Pada malam kelmarin, pihak polis di Pulau Pinang telah menyerbu sebuah pertunjukan muzik yang diadakan di sebuah kafe dan pusat hiburan kecil-kecilan di Georgetown. Di dalam serbuan tersebut, selain daripada menahan pengusaha kafe tersebut, pihak polis juga telah menahan tiga orang daripada pengunjung pertunjukan muzik tersebut kerana mereka didapati merakam pihak berkuasa ketika serbuan sedang dijalankan.

Tindakan penangkapan tiga pengunjung ini disifatkan sebagai tindakan yang menekan orang awam. Tambahan pula, perbuatan merakam yang dianggap “mengganggu tugas pihak berkuasa” pula sangat subjektif dari segi undang-undang.

Oleh yang demikian, Peguam Negara perlu menjelaskan apakah rasional operasi pihak berkuasa yang dijalankan secara terang-terangan tidak boleh dirakam, di dalam kes ini, mengapakah individu-individu ini ditangkap hanya kerana mengambil rakaman keadaan yang berlaku? Bukanlah lebih baik agar operasi-operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa tidak dilakukan secara rahsia (clandestine)? Perkara-perkara seperti ini sewajarnya ditunjukkan kepada awam di atas dasar ketelusan di dalam menjalankan tugas.

Sekiranya orang awam tidak dibenarkan merakam, adalah lebih bagus agar kamera badan (body camera) dipasang ke atas pihak polis yang menjalankan tugas. Pembelian alatan-alatan berkenaan oleh pihak polis sudah dijadualkan pada tahun 2021, kini sudahpun tahun 2023 – bilakah perkara ini akan dikuatkuasakan? Ini adalah isu penting yang perlu dititik beratkan memandangkan kerajaan baru ini mengutamakan reformasi di dalam badan kepolisian.