Skip to content

Bilakah polis akan ambil tindakan terhadap duta khas ke Timur Tengah berstatus menteri Abdul Hadi Awang kerana dakwaan beliau yang tidak berasas, memecahbelahkan, rasis dan ekstremis kepada orang bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia?

Slogan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri terbukti sebagai cebisan politik palsu dan kosong untuk memperdaya, memesongkan dan menipu rakyat Malaysia mengenai komitmen Ismail untuk menjalin perpaduan Malaysia tanpa mengira kaum dan mempromosikan keharmonian agama. Bagaimana Keluarga Malaysia boleh memberi sebarang makna apabila Duta Khas ke Timur Tengah berstatus Menteri, Abdul Hadi Awang, dibenarkan terlepas tanpa dihukum kerana menghina orang bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca rasuah di Malaysia?

Bukan sahaja Kabinet malah tiada seorang Menteri pun, termasuk Perdana Menteri, mendukung konsep Keluarga Malaysia dengan menolak Abdul Hadi Awang kerana dakwaan yang tidak berasas, memecahbelahkan, rasis dan ekstremis beliau terhadap orang bukan Islam dan bukan Bumiputera. Banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Hadi yang meminta tindakan tegas terhadap kenyataan menghasut dan tidak berasas oleh Hadi yang telah menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia, khususnya orang bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Bilakah polis akan ambil tindakan?

Malah Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Muhammad Mohan telah melabelkan Hadi sebagai rasis dan berpotensi menghasut, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan terhadap Hadi kerana membuat kenyataan tidak bertanggungjawab itu. Setakat ini, Presiden PAS masih tidak menyesal dan tidak berasa malu, yang menunjukkan bahawa beliau merupakan satu bahaya yang jelas kepada perpaduan Malaysia dan integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Malaysia telah mencatat prestasi buruk dalam Indeks Persepsi Rasuah atau CPI TI sejak kerajaan pintu belakang BN-PN mengambil alih pentadbiran pada 2020, merosot 11 tempat daripada No. 51 pada 2019 kepada No. 62 pada 2021. Melainkan ucapan kebencian Hadi dihentikan, menyalahkan kaum dan agama sebagai punca rasuah hanya akan menyaksikan kedudukan CPI Malaysia semakin merosot pada 2022.

Anggota Kabinet bukan Bumiputera dan bukan Islam telah mengecewakan banyak pihak dengan sikap berdiam diri mereka. Dengan tidak berani meminta Kabinet mengambil pendirian berprinsip yang betul terhadap ucapan kebencian Hadi, Menteri-menteri daripada MCA, MIC, GPS dan GRS ini membiarkan, menyemarakkan dan membenarkan permusuhan dan kebencian Hadi terhadap orang bukan Bumiputera dan bukan Islam.

Sebelum ini Hadi pernah menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak berhak untuk menjawat jawatan Menteri penting dalam Kabinet, seperti Menteri Kewangan. Namun begitu, MCA, MIC, GPS dan GRS terus bekerjasama dan menyokong PAS dan Menteri mereka di dalam kerajaan Persekutuan. Sikap berdiam diri Menteri-menteri bukan Islam yang berterusan menjadikan mereka sama-sama bertanggungjawab terhadap rasisme dan ekstremisme oleh PAS, terutamanya apabila PAS kini semakin melampau dengan mahu mengharamkan konsert, Oktoberfest dan Bon Odori.