Inilah jawapan yang tidak diberikan oleh YAB Perdana Menteri dalam Parlimen semasa menjawab soalan berkaitan dengan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang. Kedua-dua perkara ini penting demi menjamin vialibiliti operasi kewangan, pengurusan profesional dan masa depan Pelabuhan Pulau Pinang yang mampu berdaya saing dengan pelabuhan lain.
Dengan kemasukan pelabuhan di antara yang terbesar di Malaysia, Pelabuhan Pulau Pinang memainkan peranan utama untuk menjana petumbuhan ekonomi. Oleh itu, demi prinsip akauntabiliti dan ketulusan, Kerajaan Persekutuan harus memberikan jawapan kepada rakyat Pulau Pinang atas kepentingan awam.
SOALAN NO: 88
PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN LIM GUAN ENG
[BAGAN]
TARIKH : 17 JUN 2014 (SELASA)
SOALAN :
Tuan Lim Guan Eng [Bagan] minta PERDANA MENTERI menyatakan status penswastaan mega Pelabuhan Pulau Pinang dan Pangkalan Tentera Udara di Raja Malaysia di Butterworth yang melibatkan jumlah puluhan bilion ringgit. Mengapa tidak ada akauntabiliti rasmi daripada pihak Kerajaan Pusat kepada rakyat Pulau Pinang sehingga UMNO pun membantah.
JAWAPAN: YB SENATOR DATO’ SRI ABDUL WAHID OMAR, METERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Yang Berhormat, Syarikat Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. (STSB) telah diperakukan sebagai pembida yang berjaya bagi cadangan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang melalui pemilikan ekuiti di dalam Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).
Rundingan mengenai terma-terma perjanjian telah dimuktamadkan dan Perjanjian Tambahan (Supplemental Agreement) penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang telah ditandatangani pada 23 November 2013.
Antara obligasi yang perlu dilaksanakan oleh syarikat STSB di Pelabuhan Pulau Pinang adalah seperti berikut:
(i) menyediakan kemudahan pengangkutan feri untuk rakyat Pulau Pinang, khususnya yang berulang-alik pada setiap hari dari Butterworth ke Pulau Pinang (yang memerlukan kos yang besar, di mana Syarikat Seaport terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM16 juta pada setiap tahun);
(ii) mengambilalih kakitangan Pelabuhan Pulau Pinang;
(iii) mengambilalih beban hutang syarikat PPSB yang melebihi RM1.2 bilion;
(iv) menanggung kos pelaksanaan kerja-kerja pengerukan utama (capital dredging- dengan izin), dari 11.5 meter kepada 14.5 meter; dan
(v) membuat suntikan modal (cash injection – dengan izin) bagi menyokong pembangunan di pelabuhan berkenaan.
Pada dasarnya dalam penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang tidak timbul isu akauntabiliti memandangkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang telah dilaksanakan secara tender terhad (restricted tender – dengan izin) dan keputusan Kerajaan untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang adalah berdasarkan pada pertimbangan komersial dan teknikal. Hasrat Kerajaan adalah untuk memastikan kesinambungan perniagaan dan pengoperasian Pelabuhan Pulau Pinang dapat diteruskan. Disamping itu, pihak Kerajaan juga memiliki (Special or Preference Share – dengan izin) di dalam syarikat yang mana ianya secara tidak langsung dapat memastikan kepentingan Kerajaan dipelihara.
Tuan Yang di-Pertua,
Mengenai status projek Pemindahan dan Pembangunan Semula Pengkalan Udara (PU) Butterworth pula, difahamkan ia masih di peringkat kajian cadangan Kementerian Pertahanan.
Sekian, terima kasih.