Pagi tadi selesai mesyuarat yang pertama Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (Public Account Committee) Selangor setelah ia terpaksa diberhentikan sejak 30hb Oktober 2014. Ini adalah berikutan perletakan jawatan Ketua Pembangkang oleh Datuk Shamsuddin Mohd Lias, Ahli Dewan Negeri kawasan Sungai Burong dan ketidakenggangan pihak Barisan Nasional menamakan calon baru untuk jawatan tersebut. Dewan Negeri Selangor telah meluluskan pindaan Peraturan Tetap 68(1) pada sidang dewan yang bersidang pada 4hb Disember 2014 bahawa adalah wajib bagi Ketua Pembangkang memegang jawatan Pengerusi PAC. Ia setaraf dengan negara membangun yang lain di seluruh dunia.
Saya berasa kecewa dengan tindakan ADUN BN ini kerana tidak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ADUN Pembangkang untuk turut mengambil bahagian dalam pemantauan serta semakan perbelanjaan dan pengurusan kewangan kerajaan Negeri. Shamsuddin memberi alasan beliau enggan menerima tawaran tersebut bahawa jumlah keahliannya tidak seimbang dan ia dimonopolikan oleh ADUN Pakatan Rakyat. Alasan yang diberikan ini langsung tidak masuk akal dan ia jelas membuktikan bahawa mereka tidak matang serta tidak memahami sama sekali erti sebenar demokrasi. Jumlah keahlian mana-mana jawatakuasa pilihan khas Dewan harus ditentukan berdasarkan bilangan ADUN mengikut parti masing-masing. Tindakan mereka ini juga menunjukkan minda ADUN BN yang sempit serta masih mengamalkan budaya politik yang ketinggalan zaman.
Saya berpendapat ia tidak harus dijadikan isu kerana ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada ADUN Pembangkang untuk menerima jawatan tersebut. Jawatankuasa PAC berfungsi untuk menyemak perbelanjaan kerajaan Negeri dan Pengerusinya berkuasa untuk memulakan siasatan terhadap mana-mana jabatan kerajaan Negeri Selangor. Beliau juga boleh menentukan cara penyiasatan seperti memanggil pendengaran saksi secara awam ataupun tertutup selain memberi saranan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu. Ini mungkin merupakan salah satu punca kenapa Pembangkang tidak berani menerima jawatan ini kerana bimbang sekiranya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menuntut jawatan Pengerusi PAC di Parlimen. Kerajaan Negeri Selangor berani memberi kuasa dan ruang yang begitu besar kepada Pembangkang untuk menyemak kira-kira negeri kerana kerajaan Pakatan Rakyat bersikap telus.
Ini jelas menunjukkan bahawa jawatan Pengerusi PAC yang ditawarkan kepada Ketua Pembangkang ini bukan setakat boneka seperti yang dikatakan oleh Shamsuddin. Mereka perlu mempertimbangkan keputusan mereka dan mencalonkan Ketua Pembangkang yang baru dengan secepat yang mungkin agar UMNO/BN tidak mengkhianati pengundi mereka dan parti pembangkang itu kekal relevan di arena politik negeri Selangor.
PAC pada mesyuarat pagi tadi telah meluluskan supaya Ahli Dewan Negeri kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim memangku jawatan pengerusi PAC sehingga pihak Dewan menerima pencalonan nama daripada pihak pembangkang untuk jawatan Pengerusi. Keputusan ini di buat memandangkan peranan jawatankuasa ini yang sangat penting dalam sistem demokrasi bagi memastikan perbelanjaan wang oleh kerajaan Negeri dilakukan dengan baik.
Turut hadir pada mesyuarat padi tadi adalah Ahli Dewan Negeri kawasan Kajang, Datuk Seri Wan Azizah binti Wan Ismail, Ahli Dewan Negeri kawasan Batu Tiga Puan Rodziah selain daripada Pemangku Pengerusi.