Skip to content

BN gagal selesai isu pendidikan menengah Tamil dan Cina

Kemajmukan negara kita merupakan khazanah istimewa yang menjadi kebanggaan semua. Malaysia adalah unik dengan demografi yang berwarna-warni. Kita mewarisi pelbagai bahasa, budaya, tradisi dan seni. Kekayaan ini perlu dikekalkan selama-lamanya sebagai lambang kebanggaan di dalam dan di luar negara.

Kerajaan harus menyuburkan lagi kepelbagaian ini supaya negara kita dikenali di serata dunia sebagai sebuah negara yang berjaya mengamalkan prinsip ‘unity in diversity’.

Tetapi, kerajaan Barisan Nasional tidak serius dalam hal ini. Sekadar melaung-laungkan slogan 1Malaysia tidak akan membawa apa-apa erti dalam mencapai dasar intergasi nasional. Setiap warganegara harus merasai bahawa kerajaan ini menghormati dan menghargai bahasa dan budayanya.

Sebagai contoh, kerajaan Barisan Nasional memberi pelbagai alasan perundangan yang tidak munasabah untuk membina sebuah sekolah menengah Tamil di negara ini. Kerajaan Pulau Pinang bersedia memberi tapak tanah yang sesuai untuk membina sebuah sekolah menengah Tamil. Walau bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional tidak mahu melayan permintaan itu. Pihak MIC juga tidak berani menyuarakan hal ini dalam mesyuarat kabinet.

Begitu juga, kerajaan tidak meluluskan permohonan Dong Zong untuk membina sebuah sekolah menengah bebas (independent) dengan bahasa penghantar Cina di Kajang, Selangor. Kerajaan mendakwa bahawa Akta Pendidikan 1996 tidak membenarkan penubuhan sekolah menengah persendirian Cina yang baru.

Kerajaan memberi alasan bahawa bilangan sekolah menengah Cina adalah kekal 60 buah dan sebarang penambahan baru adalah bertentangan dengan undang-undang negara. Apakah MCA juga bersetuju dengan alasan ini?

Pada pandangan saya isu-isu ini boleh diselesaikan dengan mudah jika kerajaan mempunyai ‘political will’. Tetapi, Kerajaan Barisan Nasional tidak berniat untuk meluluskan permohonan untuk membina sekolah menengah Tamil dan menambahkan bilangan sekolah menengah persendirian Cina. Dalam hal ini pemimpin-pemimpin MIC dan MCA harus mengakui kedaifan mereka dalam memperjuangkan bahasa ibunda masing-masing.