BN perlu menjelaskan kepada pengundi Johor mengapa mereka menyokong kenaikan penalti dan denda kompaun kepada RM 2 juta dan RM 1 juta untuk syarikat dan RM100,000 dan RM10,000 bagi individu yang tidak mematuhi SOP COVID-19. Kenaikan penalti (apabila disabitkan di mahkamah) dan denda kompaun juga memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun, terkandung dalam cadangan pindaan kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Penalti dan denda kompaun yang keras sedemikian boleh dikuatkuasakan sesuka hati dengan kuasa yang tidak terhad dan tidak terkawal yang diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, yang tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di bawah cadangan pindaan yang sama. PH dan DAP telah mengambil pendirian tegas menentang dan mengundi menolak cadangan pindaan sedemikian di Parlimen kerana kuasa zalim yang diberikan kepada penguatkuasaan dan hukuman serta denda kompaun berat yang dikenakan.
Terdapat dua sebab utama mengapa pindaan ini tidak sepatutnya diluluskan. Pertama, ini adalah percubaan tidak jujur oleh kerajaan untuk menyalahkan rakyat untuk mengelak tanggungjawab ke atas kegagalan mereka menguruskan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan kehilangan hampir 33,000 nyawa dan hampir 3.5 juta jangkitan. Kedua, hukuman yang berat boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa dan kelangsungan perniagaan kecil yang tidak mampu membayar penalti dan denda kompaun yang berat serta membebankan.
Bukan setiap rakyat Malaysia biasa kaya seperti Menteri yang mampu membayar denda RM10,000 dan setiap syarikat boleh bertahan jika dikenakan denda kompaun RM1 juta. Kerajaan harus mengakui kegagalan mereka dalam mengurus COVID-19 dan mengambil tanggungjawab penuh atas ketidakcekapan mereka, mempunyai belas kasihan kepada mangsa COVID-19 dan menguruskan peralihan pandemik yang menjadi endemik secara berkesan dalam menerima realiti bahawa masyarakat terpaksa hidup dengan COVID-19.
Penalti yang keras dan kuasa zalim yang diberikan kepada pegawai penguatkuasa akan meletakkan halangan tambahan kepada pemulihan penuh ekonomi. Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, perlu ada pendekatan keseluruhan kerajaan dan bukannya menyalahkan atau menjadikan rakyat sebagai punca pandemik COVID-19.
Kerajaan Persekutuan begitu licik dan penuh helah dalam mengatur masa perbahasan dan meluluskan cadangan pindaan selepas 12 Mac apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir. Jelas sekali pindaan itu dirancang untuk diluluskan selepas PRN Johor, bagi mengelak kontroversi dan kesan buruk isu itu terhadap undian. Atas sebab ini, BN termasuk kedua-dua UMNO, MCA dan MIC mesti tampil memberi penjelasan terhadap sokongan mereka kepada cadangan pindaan ini yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.