Skip to content

BN tidak harus berbohong bahawa perjanjian lebuh raya tidak boleh dirunding semula bagi menghalang kenaikan kadar tol

Berikutan kenaikan tarif elektrik yang diumumkan pada 2 Disember 2013, rakyat Malaysia akan berdepan dengan kenaikan besar bayaran tol melibatkan 13 lebuh raya pada tahun 2014. BN dengan angkuhnya menjustifikasikan kenaikan bayaran tol dengan menyarakankan rakyat Malaysia menggunakan jalan alternatif bebas tol yang kurang bermutu daripada mengakui telah menggadaikan kepentingan rakyat Malaysia biasa dan peniaga kecil untuk memuaskan ketamakan kroni-kroni mereka.

Jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar boleh menggesa pemandu untuk memilih menggunakan laluan alternatif jika mereka tidak berpuas hati dengan kenaikan yang akan berlaku dalam bayaran tol lebuh raya, mengapa rakyat Malaysia tidak diberikan kebebasan untuk bertanyakan berhubung pemilihan syarikat konsesi tol yang telah diberikan tanpa tender kompetitif terbuka? Sikap pilih kasih kerajaan BN berulang lagi apabila sebenarnya mereka mampu membayar RM400 juta sebagai pampasan bagi mengelakkan kenaikan bayaran tol sebelum pilihan raya umum tetapi tidak mampu membayar RM400 juta sebaik sahaja pilihan raya berlalu.

Walaupun telah menandatangani perjanjian, kerajaan BN masih dapat melepaskan diri daripada terma tidak adil melalui rundingan semula perjanjian baru. BN terus mendakwa bahawa kenaikan tol yang dijadualkan dilakukan mengikut perjanjian dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menghormati terma perjanjian atau membayar pampasan yang besar.

Rundingan Semula Perjanjian tol yang Dimeterai Sebelum ini

Perlu diingatkan bahawa hampir 3 tahun yang lalu pada 15 Oktober 2010, pentadbiran tahun pertama Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan had 5 tahun kadar tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan empat lebuh raya lain yang berkaitan ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat. Kerajaan BN kemudian mendakwa kejayaan dalam rundingan semula perjanjian baru dengan PLUS untuk pembekuan 5 tahun kenaikan tol.

Atas sebab ini, BN tidak harus berbohong bahawa perjanjian lebuh raya tidak boleh dirundingkan semula bagi menghentikan kenaikan kadar tol untuk syarikat-syarikat yang telah mendapatkan balik pelaburan mereka atau kos pembinaan apabila BN telah berjaya merunding semula perjanjian tersebut pada tahun 2010 untuk mengelakkan kadar tol meningkat menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Selanjutnya, selepas 2015 apabila tempoh moratorium tamat, kenaikan tol akan ditetapkan pada kadar ‘sederhana’ 5% setiap 3 tahun berbanding dengan 10% yang asal. PLUS juga akan mengetepikan tuntutan pampasan RM6.2 bilion terhadap kerajaan. Moratorium 5 tahun pada 2010 menunjukkan Kerajaan Persekutuan boleh melakukan lebih banyak rundingan semula perjanjian yang lebih diterima rakyat dan bukan tunduk kepada ketamakan untuk memperolehi keuntungan kepada kroni-kroni mereka.

Marilah kita mengambil Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sebagai contoh. Para pengguna jalan raya membayar RM1.60 untuk setiap tol dan ia boleh meningkat kepada RM2.00 atau lebih. Pemegang konsesi LDP, LITRAK, membuat RM127.2 juta keuntungan bersih daripada RM370.7 juta hasil (pendapatan itu termasuk pampasan RM86.5 juta yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan kadar tol agar tidak berubah pada tahun 2012) bagi tahun kewangan 2013.

Walaupun tanpa pampasan kerajaan, LITRAK akan tetap mendapat sekurang-kurangnya RM 41 juta keuntungan bersih. Sejak 5 tahun lalu, keuntungan bersih terkumpul LITRAK adalah hampir RM500 juta daripada RM 1.65 bilion hasil. Tahun ke tahun, pendapatan dan keuntungan telah meningkat pada kira-kira 5% dan keuntungan selepas cukai adalah dalam lingkungan 30% – 35%. Semua ini dicapai tanpa sebarang kenaikan tol.

Jangan Guna Jalan Bertol

Adalah sukar untuk mempercayai bahawa Wahid tidak sedar keuntungan berlebihan yang dinikmati oleh syarikat-syarikat kroni BN memandangkan beliau seorang ahli bank. Tetapi sebagai ahli bank yang kaya, mungkin Wahid tidak sedar bagi kebanyakan rakyat Malaysia jalan bertol merupakan hanya laluan yang ada. Sekiranya memperolehi peluang, pemandu Malaysia akan melakukan yang terbaik bagi mengelakkan lebuhraya bertol dan berdepan dengan kesesakan lebuhraya. Ini sekaligus telah mendorong kepada kesesakan trafik di sepanjang jalan utama dan jalan-jalan kecil di kawasan-kawasan perumahan.

Kita mempunyai 27 lebuh raya bertol swasta di seluruh negara dengan jumlah panjang kira-kira 1500 kilometer, yang dikendalikan oleh 20 syarikat. Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jalan-jalan bertol tertumpu di Lembah Klang. Dengan hanya 20% menggunakan pengangkutan awam di kawasan bandar, bagaimana mungkin untuk rakyat biasa mampu mengelak daripada daripada menggunakan kereta dan membayar tol? Hanya Menteri BN yang megah dalam konvoi kenderaan bercermin hitam mewah yang dapat berbuat demikian, kerana mereka telah terpisah daripada realiti kehidupan rakyat kebanyakan.

Dengan peningkatan harga bahan api dan gula,tarif elektrik dan tidak lama lagi akan disusuli dengan kenaikan tol, tambang bas sekolah, harga tiket bas dan kereta api serta peningkatan 300% dalam cukai pintu Kuala Lumpur, peningkatan tahunan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM650 bagi setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 tidak berkesan dan tidak bermakna untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Keluarga kelas pertengahan lebih parah, mereka tidak layak untuk apa-apa bantuan. Kesan inflasi ini adalah penanda aras lemah oleh kerajaan BN dan hanya akan menjadikan pertumbuhan ekonomi bersama semakin kabur.