Bolehkah Anwar Ibrahim bertahan selama lima tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10?
Inilah persoalan yang perlu sentiasa ditanya oleh rakyat Malaysia dalam lima tahun yang akan datang, melainkan sekiranya Anwar ditumbangkan sebelum lima tahun.
Selepas empat bulan setengah sebagai Perdana Menteri Malaysia dan selepas lapan minggu Dewan Rakyat bersidang sempena Pembukaan Parlimen ke-15, saya lebih yakin yang Anwar boleh melengkapkan penggalnya sebagai Perdana Menteri ke-10 kerana dia berjaya melepasi empat ujian, iaitu:
- Usul kepercayaan di Parlimen terhadap kerajaannya;
- Usul menjunjung Titah Diraja sempena Pembukaan Parlimen ke-15;
- Kelulusan Belanjawan 2023; dan
- Mengekalkan harapan rakyat Malaysia bahawa Malaysia mampu untuk mengelakkan hala tuju menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam dekad-dekad yang akan datang supaya kita dapat melakukan lebih banyak lagi perkara untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip pembinaan sebuah Malaysia majmuk seperti yang dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan negara (termasuklah empat presiden terawal UMNO) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Sekiranya saya diminta untuk memberikan markah kemungkinan Anwar untuk kekal sebagai Perdana Menteri ke-10 sekarang, saya akan berikan angka-angka seperti berikut:
- 90% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk setahun;
- 80% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk tiga tahun; dan
- 70% kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk penggal penuh lima tahun.
Perkara ini mengambil kira kegagalan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan kegagalan mereka untuk menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong semasa istiadat Pembukaan Parlimen ke-15 bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk berjaya sebagai sebuah negara dan juga peranan mereka dalam merosakkan perpaduan negara dengan mempolarisasi negara melalui retorik penipuan perkauman dan keagamaan.
Satu unsur penting yang menentukan ketahanan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 adalah sama ada UMNO dapat memainkan peranan penting untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Prestasi buruk UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menjadi bukti bahawa kepercayaan yang pengundi Melayu akan kekal setia dengan BOSSKU walaupun selepas disabitkan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dengan 1MDB adalah satu kesilapan, kerana sekiranya perkara ini betul, UMNO sepatutnya menyaksikan kebangkitan dan bukannya kekalahan besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas.
Pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada bulan Julai/Ogos akan memberikan kesan yang besar kepada ketahanan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menjadi ujian besar seterusnya kepada Anwar yang akan menentukan sama ada dia akan kekal menjadi Perdana Menteri untuk sepenuh penggal lima tahunnya.