Rakyat Pulau Pinang berasa sedih kerana Hotel Equatorial Penang yang bertaraf lima bintang akan ditutup sebelum 31 Mac 2021, kerana “keadaan perniagaan yang buruk disebabkan oleh Covid-19”. Rakyat Pulau Pinang mempunyai kenangan indah tentang Hotel Equatorial sebagai salah satu hotel lima bintang terawal di Pulau Pinang, yang dibawa masuk oleh mendiang Tun Dr Lim Chong Eu semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, kedua-dua bandar berkembar George Town dan Melaka telah kehilangan hotel bintang lima terawal mereka. Ramada Plaza Melaka (dahulunya dikenali sebagai Renaissance Melaka) ditutup pada Mei 2020. Ini menunjukkan betapa seriusnya kesan buruk pandemik global COVID-19 kepada industri pelancongan tempatan, yang kehilangan pendapatan dianggarkan RM100 bilion pada tahun 2020.
Walaupun terdapat kerugian pendapatan sebanyak RM 100 bilion pada tahun 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dipilih rakyat tidak melakukan secukupnya untuk membantu dan menyelamatkan industri pelancongan. Bukan hanya hotel, tetapi banyak agensi pelancongan dan pengusaha bas pelancong telah gulung tikar. Sekiranya infrastruktur asas pelancongan runtuh atau ditutup, bagaimana Malaysia boleh mendapat keuntungan dari sebarang kebangkitan semula industri pelancongan.
Malangnya, ramai Menteri Kabinet masih hidup dalam penafian. Daripada memudahcara pinjaman bank atau moratorium bayaran balik pinjaman secara automatik, Menteri Pelancongan Nancy Shukri nampaknya terperangkap dalam realiti yang berbeza. Dia mengatakan bahawa walaupun 109 perusahaan dalam sektor hotel dan 95 agensi pelancongan ditutup, Kementeriannya telah meluluskan permohonan lesen baru daripada 135 syarikat dan pengusaha pelancongan tahun lalu. Ini tidak masuk akal. Bolehkah Nancy beritahu kita di mana semua agensi pelancongan baru ini?
Dalam Belanjawan 2021, Kementerian Pelancongan terus menggunakan pendekatan “burung unta membenam kepala dalam tanah”, iaitu mengelak dan menafikan masalah dengan meramalkan purata penghunian hotel untuk tahun 2020 akan menjadi 61.1% dan 58.4% pada tahun 2021. Bagaimana Kementerian Pelancongan dapat mengekalkan unjuran 61.1% penghunian hotel untuk tahun 2020 apabila industri pelancongan menghadapi kerugian RM100 bilion?
Penutupan Hotel Equatorial Penang menunjukkan bahawa kadar penghunian hotel 58.4% yang diunjurkan oleh Kementerian Pelancongan pada tahun 2021 adalah tidak masuk akal. Unjuran palsu dan tidak realistik seperti ini akan merosakkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan tahu bagaimana melakukan kerja mereka untuk menyelamatkan industri pelancongan negara. Bolehkah Darurat dan penggantungan Parlimen membantu menyelamatkan hotel dan industri pelancongan negara?