Pengurusan kerajaan bagi varian COVID-19 terbaru, Omicron, setakat ini telah menunjukkan kegagalan,kelalaian tugas yang teruk dan digunakan sebagai kepentingan politik sendiri untuk mendapatkan kelebihan maksimum pengundian pada pilihan raya negeri Johor akan datang. Bolehkah kerajaan dianggap serius dalam mengekang gelombang jangkitan Omicron yang meningkat kepada 19,090 pada 10 Februari, apabila Jawatankuasa Khas Pengurusan pandemik COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak bermesyuarat sejak 5 November 2021? Bilakah mesyuarat seterusnya?
Daripada menumpukan sepenuh hati dan fikiran untuk mengatasi gelombang jangkitan terbaru yang kini telah mencapai jumlah hampir 3 juta kes, tiada mesyuarat jawatankuasa tertinggi mengenai pengurusan COVID-19 untuk 3 bulan yang lalu, di tengah-tengah krisis terbaru ini. Dengan lebih 32,075 kematian COVID-19, Malaysia mencatatkan jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 969 kematian bagi setiap satu juta penduduk.
Jelas sekali kegagalan untuk bermesyuarat dan membuat keputusan untuk mengawal gelombang terbaru Omicron, adalah satu lagi kegagalan dan pengabaian tugas yang teruk oleh pentadbiran Ismail Sabri, sama seperti pendahulunya Muhyiddin Yassin. Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini sepatutnya diadakan setiap minggu. Sejak saya dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Khas ini pada awal Oktober, hanya terdapat 3 mesyuarat pada 15 Oktober 2021, 22 Oktober 2021 dan 5 November 2021. Adakah Menteri-Menteri Kerajaan tidak buat kerja mereka sedangkan kepimpinan yang tegas diperlukan pada masa yang mendesak sekarang?
Perdana Menteri sebelum ini telah bersetuju dengan pemimpin PH bahawa tidak ada lagi siri “total lockdown” yang gagal secara menyeluruh untuk mengawal pandemik COVID-19 dan sebaliknya mengakibatkan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion dan membawa kepada kemelesetan ekonomi. Satu lagi “total lockdown” akan membawa bencana besar dan mengakibatkan kehilangan nyawa dan mata pencarian.
Berhenti Mempolitikan Pandemik COVID-19 Untuk Kelebihan Maksimum Pengundian Dalam Pilihan Raya Negeri Johor.
Di sebalik gelombang terbaru, kerajaan bertegas bahawa pilihan raya negeri Johor akan diteruskan dan tidak akan ditangguhkan serta bercadang untuk membuka semula sempadan negara kita pada 1 Mac 2022. Ini tidak berbeza dengan apa yang diamalkan di negara Barat oleh kerana angka kematian yang rendah yang ditimbulkan oleh Omicron. Jika begitu, maka tidak ada sebab untuk tidak membenarkan kempen penuh termasuk ceramah atau perhimpunan awam untuk pilihan raya negeri Johor.
Sekiranya kerajaan memutuskan bahawa gelombang Omicron terbaru adalah bahaya yang nyata ketika ini, maka pilihan raya negeri Johor harus ditangguhkan dan SOP COVID-19 yang lebih ketat harus dikenakan. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara berlainan, dengan membenarkan pilihan raya negeri Johor diteruskan dan mengenakan SOP yang lebih ketat serta melarang ceramah. Mengehadkan kempen dan melarang ceramah akan membolehkan parti pemerintah mendapat kelebihan yang tidak adil dengan memiliki akses media tunggal dan fizikal kepada pengundi.
Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mempolitikkan pandemik COVID-19 untuk kepentingan diri sendiri. Dasar yang berubah-ubah dan ditukar dengan pusingan-U serta keputusan yang tidak tegas hanya akan menambah kekeliruan dan ketidakpastian yang akan menjejaskan keyakinan pelabur dan kredibiliti awam terhadap usaha kerajaan.