Skip to content

Bolehkah Malaysia belajar dari Vietnam dan bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia?

Semasa lawatan dua harinya ke Vietnam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah meminta Malaysia untuk belajar dari pengalaman Vietnam untuk membolehkan Malaysia bangkit semula sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Persoalannya adalah sama ada Malaysia mampu untuk belajar dari Vietnam untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Pada tahun 1973, semasa Amerika Syarikat mengakui kekalahan dalam perang Vietnam dan mengeluarkan tenteranya dari Vietnam, KDNK per kapita Malaysia adalah sembilan kali ganda berbanding dengan Vietnam walaupun pada ketika itu Vietnam mempunyai empat kali ganda lebih ramai penduduk berbanding dengan Malaysia.

Hari ini, lima puluh tahun kemudian, KDNK per kapita Malaysia hanya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding Vietnam, walaupun populasi 102 juta orang di Vietnam adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding dengan 33 juta orang penduduk di Malaysia.

Angka-angka ini menunjukkan bagaimana Vietnam telah maju dalam 50 tahun yang lepas, atau bagaimana Malaysia telah merosot dalam lima dekad yang lepas.

Semasa Vietnam muncul buat pertama kali dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) pada tahun 1997, negara tersebut berada di tempat ke-43 dari 52 buah negara, dengan markah 2.79/10 sedangkan Malaysia pula berada di tempat ke 32 dengan markah 5.01/10.

Dalam TI-CPI 2022, markah Vietnam telah meningkat kepada 42/100 di tempat ke-85 dari 180 negara sedangkan markah Malaysia pula merosot ke 47/100 di tempat ke-61 dari 180 buah negara yang ditinjau.

Adakah Vietnam akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dalam beberapa tahun yang akan datang?

Dalam kenyataannya di Hanoi Jumaat lepas, Anwar mengatakan yang Malaysia boleh belajar dari pengalaman Vietnam yang berjaya untuk membangunkan semula negara tersebut selepas hampir dimusnahkan dengan kolonisasi Perancis dan penglibatan secara langsung oleh Amerika.

Anwar mengatakan, hasil dari kemusnahan ini, ramai rakyat Vietnam terpaksa melarikan diri, termasuklah ke Malaysia, kerana kekecohan di negara mereka ketika itu, yang menjadikan negara tersebut bukan sahaja tidak selamat, tetapi juga menjejaskan ekonomi mereka dengan teruk.

Tetapi untuk Malaysia belajar dari pengalaman Vietnam, dua faktor diperlukan – dua faktor yang ditekankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di seluruh negara: kestabilan politik dan perpaduan nasional.

Di sinilah kita dapat lihat kepentingan enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini, kerana pilihan raya negeri ini akan menunjukkan sama ada Malaysia boleh bangkit semula sebagai sebuah negara bertaraf dunia seperti Vietnam atau terus merosot dalam trajektori sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup, walaupun keputusan pilihan raya negeri ini tidak akan menjejaskan penggal pentadbiran kerajaan perpaduan Anwar di peringkat persekutuan.

Satu lagi pengajaran penting enam pilihan raya negeri ini adalah untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dalam era media sosial, masih mungkin untuk kita melawan tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian.

Salah satu perkara yang menonjol dari tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian di Malaysia pada hari ini adalah kononnya saya telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969, yang bukan sahaja tidak berasas, liar, dan tidak masuk akal, tetapi juga merupakan satu tuduhan yang jahat dan amat keji.

Saya tidak pernah dituduh sebagai mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 selama tiga puluh tahun dari tahun 1969 hingga 1999, tetapi dalam abad ke-21, tuduhan tidak berasas sebegini tiba-tiba muncul, termasuklah tuduhan liar dan tidak masuk akal yang kononnya saya telah kencing di tiang bendera kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 sedangkan saya sebenarnya berada di Kota Kinabalu ketika itu.

Bolehkah tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian seperti ini dikalahkan?

Enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos akan menjadi ujian penting untuk perkara ini bagi Malaysia!