Bolehkah Malaysia mencatatkan peningkatan 40 anak tangga dalam masa setahun untuk carta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbitan Transparency International (TI) seperti mana dalam Carta Kebebasan Akhbar Dunia RSF – yang pastinya akan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) nombor satu dan negara Asia yang utama dalam usaha memerangi rasuah seperti pada tahun-tahun awal penerbitan TI CPI?
Saya tidak jangkaan “keajaiban” sebegini untuk terjadi di Malaysia dalam bidang anti-rasuah, tetapi perkara ini semestinya akan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai negara OIC teratas dan menjadikan Malaysia salah satu negara teratas di Asia dalam usaha memastikan adanya tadbir urus yang baik dengan integriti awam dan rasuah yang minima.
Malaysia kini berada di tempat ke-61 dalam kalangan 180 buah negara di seluruh dunia dengan markah sebanyak 47 mata per seratus, antara markah yang terendah yang pernah dicatatkan kita.
Sekiranya tidak kerana perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Malaysia akan terus merosot dalam penerbitan carta tahunan TI CPI seperti yang berlaku di bawah pemerintahan kerajaan “pintu belakang” Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, di mana segala usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai prestasi TI CPI yang terbaik pada tahun 2019 – dengan peningkatan 10 anak tangga dan markah 53 per seratus – disia-siakan.
Muhyiddin dan Hadi tidak menentang rasuah. Muhyiddin hanya menentang skandal gergasi 1MDB manakala Hadi pula kelihatan selesa dengan skandal 1MDB memandangkan dia langsung tidak pernah mengkritik skandal 1MDB.
Muhyiddin dan Hadi tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Malaysia terus menerus jatuh dalam carta-carta TI CPI yang akan datang, sekalipun sekiranya China mengatasi kedudukan Malaysia sebelum tahun 2030 dan Indonesia, India, dan banyak lagi negara-negara OIC mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad-dekad yang akan datang selepas 2030.
Tetapi, dengan kerajaan perpaduan Anwar, rakyat Malaysia boleh ada harapan untuk melihat Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dengan rasuah yang minima dan mengambil semula kedudukannya sebagai negara OIC nombor satu dan sebagai antara negara Asia yang terbaik dalam usaha memerangi rasuah – sekiranya bukan menjelang penghujung penggal lima tahun Kerajaan Perpaduan Anwar pada tahun 2027, selewat-lewatnya semasa penghujung penggal kedua Anwar sebagai Perdana Menteri pada tahun 2033.
Adakah Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu dan PAS akan menyokong program 10 tahun untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik dunia dengan integriti awam dan rasuah yang minima?
Sementara itu, cara terbaik untuk meraikan lonjakan 40 anak tangga yang dicatatkan negara dalam Carta Kebebasan Akhbar Dunia 2023 terbitan RSF adalah dengan membentuk Majlis Media.
Wartawan veteran, Johan Jaafar dan Zaini Hassan, adalah antara mereka yang telah mengatakan penubuhan majlis media ini bertepatan masanya dan bakal meningkatkan profesionalisme para wartawan ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mencipta tanda aras baharu untuk bidang tersebut.
Banyak perkara telah dilakukan dalam 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan sebelum kerajaan ini ditumbangkan oleh konspirasi politik Langkah Sheraton pada Februari 2022.
Masanya sudah tiba untuk kerajaan perpaduan Anwar mengumumkan berita baik mengenai penubuhan majlis media ini.