Skip to content

Bolehkah MCA dan Wee Ka Siong buktikan satu kebaikan yang telah dilakukan Kerajaan PN untuk Pulau Pinang atau adakah seterusnya giliran pengurangan tol di Jambatan Pulau Pinang pertama dan kedua akan dibatalkan setelah PN menghentikan 4 projek pembangunan utama yang diluluskan oleh Kerajaan PH sebelum ini?

MCA dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong terus menafikan kebenaran bahawa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) bertanggungjawab untuk menghentikan 4 projek pembangunan utama di Pulau Pinang dan sebaliknya menyalahkan saya kerana mengetepikan Pulau Pinang. Tidak sampai satu tahun selepas peristiwa khianat pada Februari 2020, kerajaan persekutuan PN yang tidak dipilih ini, telahpun membatalkan EMPAT projek infrastruktur penting di Pulau Pinang.

Keempat-empat projek yang dihentikan dianggarkan menyebabkan kerugian kewangan berbilion-bilion ringgit kepada rakyat Pulau Pinang, dan juga memberi impak buruk sosioekonomi, iaitu:

  1. Projek kereta kabel Pulau Pinang bernilai RM100 juta;
  2. Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM800 juta;
  3. Jaminan pinjaman kerajaan persekutuan untuk pembinaan sistem Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT) untuk mengurangkan kesesakan trafik yang kronik dan meningkatkan perhubungan antara pulau dan seberang di Seberang Perai;
  4. Feri ikonik Pulau Pinang.

Untuk MCA dan Wee menafikan fakta bahawa keempat-empat projek infrastruktur ini diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu bentuk penipuan yang menyebabkan MCA kalah di semua kerusi DUN dan Parlimen yang mereka tandingi di Pulau Pinang sejak pilihan raya umum 2008. Bagaimana Wee boleh mendakwa bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sepatutnya dimulakan pada tahun 2020 tidak dihentikan, sedangkan Wee mengumumkan di Parlimen pada 18 Ogos 2020 bahawa projek pembesaran yang diumumkan dalam Belanjawan PH 2020, telah dihentikan dan menunggu kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Nasional ( NASP) yang dijangka siap pada 2023?

Begitu juga, kerajaan Persekutuan PH telah memberikan komitmen bertulis kepada Pulau Pinang untuk menjamin sebarang pinjaman oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membiayai projek LRT, yang telahpun ditarik balik oleh kerajaan PN yang tidak dipilih rakyat ini. Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menafikan penarikan balik komitmen jaminan pinjaman bertulis ini di Parlimen tetapi menyatakan bahawa Kementeriannya bersedia mempertimbangkan sebarang cadangan. Bagi perkhidmatan feri ikonik pula, Tengku Zafrul telah berjanji di Parlimen pada 17 Disember 2020 untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik tersebut. Namun, janji ini ditolak dan disanggah oleh Wee yang berkeras untuk menghentikan feri yang mengangkut kereta. Setelah perkhidmatan feri ikonik ditamatkan pada 1 Januari 2021, Wee kini mendakwa bahawa perkhidmatan ikonik tersebut akan diteruskan dan menyalahkan saya kerana menghentikan perkhidmatan feri tersebut.

Siapa yang Wee cuba bohong? Setiap rakyat Pulau Pinang tahu bahawa perkhidmatan feri ikonik tidak lagi mengangkut kereta. Feri ikonik akan berhenti beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan. Wee mendakwa bahawa bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan adik saya Senator Lim Hui Ying menyokong penamatan perkhidmatan feri sedangkan mereka tidak pernah berbuat demikian.

Sebaliknya, kedua-duanya secara konsisten menyokong pendirian kerajaan PH ketika saya menjadi Menteri Kewangan, bahawa perkhidmatan feri diteruskan sebagai syarat yang ditetapkan untuk pemberian geran RM30 juta kepada pengendali, Penang Port Sdn Bhd. DAP hanya meminta bahawa 3 feri yang sedia ada dibenarkan terus beroperasi selari dengan bas air moden atau katamar. Apa salahnya menggabungkan kemodenan dan warisan seperti yang dilakukan dengan perkhidmatan feri di Kanada dan Hong Kong.

DAP Pulau Pinang telah melancarkan kempen tandatangan untuk mengembalikan semula empat projek pembangunan yang diluluskan oleh PH untuk Pulau Pinang. (Lihat: www.dappg.org/4projects). Tidak seperti PN yang tidak melakukan apa-apa untuk Pulau Pinang, PH telah memberikan kebaikan tambahan kepada rakyat Pulau Pinang dengan mengurangkan kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang daripada RM8.50 kepada RM5.74, dan untuk Jambatan Pulau Pinang Pertama daripada RM7 kepada RM5.74 atau untuk mereka yang menikmati kad diskaun khas 20% Touch n Go daripada RM5.60 kepada RM4.59.

Bolehkah MCA dan Wee Ka Siong membuktikan satu kebaikan yang telah dilakukan PN untuk Pulau Pinang, atau adakah seterusnya giliran pengurangan tol di Jambatan Pulau Pinang Pertama dan Kedua akan dibatalkan, setelah PN menghentikan 4 projek pembangunan utama yang diluluskan oleh kerajaan PH sebelum ini?