Skip to content

Bolehkah Menteri MCA, UMNO, MIC, GRS, dan GPS menjelaskan mengapa mereka menambah derita kepada pembayar cukai/ perniagaan dengan meluluskan Seksyen 103B Akta Cukai Pendapatan?

Seksyen 103B Undang-Undang Cukai Pendapatan menggugurkan kuasa mahkamah bagi memberikan penangguhan terhadap tindakan oleh LHDN, memaksa pembayar cukai / perniagaan untuk “bayar dahulu, bincang kemudian” kepada taksiran cukai LHDN yang tidak masuk akal dan tidak wajar. Seksyen 103B diperkenalkan tahun lalu oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bukan hanya dengan persetujuan PN dan PAS, tetapi juga oleh Menteri MCA, UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Najib telah menuduh saya cuba mengelirukan rakyat atas dakwaan saya bahawa seksyen 103B Akta Cukai Pendapatan ini diperkenalkan oleh PN. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas salah fakta dan silap dalam hal undang-undang ini, kerana mendakwa bahawa Seksyen 103B ini telah wujud sejak zaman Kerajaan Barisan Nasional, dan tidak diperkenalkan oleh Kerajaan PN.

Sekiranya pendapat Najib benar bahawa seksyen 103B yang baru ini ada sejak zaman BN, mengapa seksyen 103B dimasukkan di bawah seksyen 20 Akta Kewangan 2020 (Akta 831)? Sila lihat lampiran di bawah, yang membuktikan secara jelas bahawa Seksyen 103B (lihat halaman 22 Akta 831 Akta Kewangan 2020) hanya diluluskan oleh PN dalam Belanjawan 2021 dan diwartakan pada 31.12.2020.

Najib harus mempunyai keberanian untuk mengakui bahawa dia telah salah dalam menuduh saya cuba mengelirukan rakyat. Adakah status UMNO begitu lemah dan kerdil sehingga UMNO terus mempertahankan tindakan kejam Kerajaan PN terhadap rakyat, ketika PN dan Bersatu membuli UMNO tanpa sebarang akibat?

Najib jelas keliru antara pembayar cukai yang merayu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan, dan pembayar cukai yang memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman dan penangguhan pembayaran cukai, hingga kes itu didengar dan diselesaikan. Dengan pengenalan seksyen 103B, pembayar cukai tidak lagi dapat meminta penangguhan pembayaran cukai dari Mahkamah Tinggi dan pembayar cukai harus membayar LHDN terlebih dahulu dan berbincang kemudian.

Sekiranya Kerajaan PN kehabisan dana kerana salah urus mereka, maka bon kerajaan boleh diterbitkan untuk mengumpulkan wang, dan bukannya menggunakan LHDN untuk memerah lebih banyak wang daripada pembayar cukai/ perniagaan yang sudah menderita akibat kemelesetan ekonomi. Mengapa rakyat harus diseksa atas kesalahan PN?

Bersenjatakan dengan kuasa baru tersebut, banyak pembayar cukai dan perniagaan telah dibuli dengan tuntutan yang tidak masuk akal dan melampau untuk membayar cukai tambahan dalam jangka masa 30 hari selepas notis taksiran dikeluarkan oleh LHDN. Tanpa hak untuk mengajukan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk perintah penangguhan melalui permohonan semakan kehakiman terhadap LHDN, pembayar cukai telah dinafikan hak keadilan asasi pembayar cukai untuk menuntut ganti rugi di mahkamah.

Bolehkah Menteri MCA, UMNO atau GPS menjelaskan mengapa kerajaan mahu menambah derita rakyat seperti ini?