GST merupakan satu penindasan ekonomi terhadap rakyat jelata. Kerajaan memperkenalkam sistem cukai GST ini untuk mencari sumber pendapatan yang lain. Tetapi, cukai yang terlalu tinggi pasti akan menzalimi rakyat terutamanya golongan miskin.
Beban rakyat akan meningkat apabila kos perbelanjaannya meningkat. Bertambah buruk dalam keadaan pendapatan tidak berubah. Kenaikan kos hidup dalam keadaan pendapatan tidak berubah akan menyebabkan pendapatan bolehguna merosot. Dalam kata lain, seseorang itu akan menjadi bertambah miskin walaupun gaji atau upahnya masih sama.
Apabila isu kos hidup rakyat miskin dibangkitkan, pihak kerajaan cuba menutup isu ini dengan alasan pemberian Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M). Adakah BR1M ini benar-benar membantu menyelesaikan masalah peningkatan kos hidup rakyat?
BR1M tidak dapat mengatasi peningkatan beban hidup disebabkan GST. BR1M hanyalah satu kaedah untuk mengkaburi mata rakyat. Sebilangan besar di kalangan rakyat miskin tidak mengetahui bahawa jumlah kutipan GST adalah jauh lebih besar jika dibandingkan dengan pemberian BR1M.
Hasil kutipan GST bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.01 bilion. Anggaran kutipan GST bagi tahun 2016 adalah RM38.5 bilion. Bagi tahun 2017 pula, hasil GST dianggarkan sebanyak RM40 bilion.
Manakala, pemberian BR1M pula hanyalah RM 5.4 bilion bagi tahun 2015. Begitu juga bagi tahun 2016 pemberian BR1M masih kekal pada paras RM5.4 bilion sahaja.
Oleh yang demikian, penghitungan yang mudah membuktikan hanya lebih kurang 14% daripada GST dipulangkan kepada golongan berpendapatan rendah melalui BR1M. Selebihnya iaitu 86% daripada kutipan GST itu menjadi pendapatan tambahan kepada kerajaan. Saya melihat ini sebagai satu penindasan terhadap golongan miskin dengan gaya yang cukup licik.