Baru-baru ini, kita didedahkan dengan dakwaan oleh peguam bekas Perdana Menteri Najib Razak di mahkamah berkenaan pemberian jam tangan mewah oleh beberapa taikun terkenal. Jam-jam tangan mewah yang diberikan ini pula harganya sangat mahal, bermula dari lingkungan RM500,000 sehingga hampir ke RM2 juta! Ini adalah pendedahan yang luar biasa memandangkan hadiah-hadiah ini diberikan kepada Najib Razak sewaktu beliau masih bergelar Perdana Menteri. Melihat pada nilai hadiah yang diberikan juga, sudah pastinya hadiah tersebut diberikan atas sebab-sebab yang tertentu.
Budaya pemberian hadiah seperti ini bukanlah budaya yang sihat dan berintegriti. Oleh yang demikian, kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited dalam memastikan segala jenis rasuah dalam apa sahaja bentuk, diperangi sehabis mungkin. Walaupun hanya mentadbir kerajaan selama 22 bulan, kabinet menteri PH memulakan dasar untuk tidak menerima apa-apa jenis pemberian bernilai lebih dari RM500 daripada sesiapa sahaja. Dasar ini dilakukan untuk memastikan para penjawat awam, termasuk menteri untuk tidak menjinakkan kegiatan rasuah.
Selain itu, pada bulan April lepas, pihak SPRM telah melaporkan bahawa pihak tersebut sedang merangka pindaan berkenaan isu penerimaan dan pemberian hadiah kepada penjawat awam. Kebanyakkan agensi kerajaan juga sudah mempunyai peraturan untuk meneruskan dasar ini. Soalan yang saya hendak kemukakan di sini adalah, adakah kabinet menteri pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri juga tertakluk kepada dasar ini? Bagaimanakah perincian bagi pihak para menteri beliau di dalam isu penerimaan dan pemberian hadiah ini? Apakah mereka dibenarkan untuk menerima hadiah tanpa kira nilainya dari mana mana individu dan syarikat?
Peraturan yang penting perlu diwara-warakan kepada umum memandangkan isu ini adalah isu berkepentingan awam dan harus dipandang serius. Dengan cara seperti ini, orang ramai sedar akan kepentingan untuk tidak memberi apa-apa jenis hadiah kepada penjawat awam, lebih-lebih lagi mereka berjawatan tinggi di kabinet kerajaan.
Kes rasuah di negara kita semakin menjadi-jadi. Perdana Menteri perlu ada pelan jelas untuk menangani rasuah yang sedang berlaku. Selain dari isu yang dibincangkan, apakah langkah jangka panjang yang dirangka bagi memastikan kemantapan integriti pentadbiran negara?