Saya mendesak kerajaan untuk membuka semula siasatan terhadap skandal derma RM40 juta UMNO Sabah melibatkan Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan seorang taikun balak Michael Chia.
Jika skandal derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri Najib Razak sedang disiasat, mengapa skandal derma RM40 juta itu tidak dibuka semula?
Skandal yang berlaku dalam kedua-dua kes hampir serupa.
Ketua Menteri Sabah disyaki mendapat ‘derma’ dari taikun balak yang kemudian dikatakan derma kepada UMNO Sabah manakala Perdana Menteri pula dapat derma dari Arab Saudi.
Saya mohon Bank Negara dan SPRM segera jalankan siasatan, buka semula kes ini. Saya difahamkan ada lebih USD100 juta diberi sebagai komisyen kontraktor balak Yayasan Sabah.
Saya menggesa badan anti rasuah negara ini untuk menyiasat dua buah akaun yang dipercayai melibatkan Ketua Menteri Sabah.
Kerajaan kena siasat siapakah yang punya akaun ini di Zurich iaitu, UBS AG 231117 dan satu lagi akaun juga di Zurich UBS AG N/A 21010109. Maklumat ini dari badan anti rasuah ICAC Hong Kong.
Saya bimbang jika kes RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah tidak dibuka semula, kebarangkalian untuk kes RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri boleh ditutup begitu sahaja.
Jangan lupa, ini ‘adik abang’ punya kes! Dua-dua kes derma. Dulu, bila RM40 juta ringgit itu dikatakan sebagai derma kepada UMNO Sabah, kes selesai.