Salah satu prinsip utama dasar pendidikan negara adalah pendidikan untuk semua. Akses kepada pendidikan adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi malah harus dijunjung sebagai prioriti pihak kerajaan.
Jika kerajaan baru ini serius memberi khidmat kepada semua warga Malaysia untuk meningkatkan kualiti hidup dengan meningkatkan keupayaan pendidikan, bakat dan potensi anak-anak Malaysia, lakukanlah usaha ini dengan jujur dan ikhlas dan merangkumi semua bangsa Malaysia.
Kenyataan ini tidak berniat untuk membelakangkan hak-hak golongan bumiputra di Malaysia. Namun, ia bertujuan membawa tumpuan kepada peluang yang harus diberikan kepada golongan bukan bumiputra di Malaysia. Kami difahamkan ramai pelajar-pelajar yang ingin memohon untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sudah tidak lagi berupaya melakukan demikian, disebabkan oleh pertukaran polisi kerajaan yang berkuatkuasa untuk permohonan MRSM tahun 2022.
MRSM bertujuan untuk membantu menambah bilangan Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan. Ini juga adalah selaras dengan objektif MRSM yang telah diwujudkan untuk memberi prioriti kepada golongan dari luar bandar dan juga yang kurang berkemampuan.
Pada tahun 2002, sejajar dengan polisi kerajaan untuk meningkatkan elemen perpaduan di institusi pendidikan, kuota 10% untuk golongan bukan bumiputera telah diwujudkan. Oleh itu, sejak tahun 2002, MRSM telah menerima pendaftaran pelajar dari semua sekolah di Malaysia samada sekolah aliran kerajaan mahupun swasta termasuk sekolah aliran SJKC/SJKT dan SABK dan SMAK. Semua murid dari sekolah seperti SMKA, SABK, SRAI, SJK yang mana silibus dan guru-gurunya diserap oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga layak untuk memohon.
Sekolah-sekolah SJKC/SJKT adalah sekolah-sekolah yang berada dibawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia dari segi silibus, peruntukan guru dan piawaian peperiksaan serta tertakluk kepada Akta Pendidikan Negara. Perbezaannya hanya adalah dari segi bahasa yang digunakan sahaja dan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu diajar dari permulaan iaitu dari darjah satu.
Selain itu, adalah juga penting untuk masyarakat sedar bahawa walaupun kuota MRSM sebanyak 10% diberikan kepada golongan bukan bumiputera, sebelum tahun 2018 adalah didapati bahawa hanya 1-2 % ( satu ke dua peratus) pelajar bukan Bumiputera yang mengisi kuota 10% yang diperuntukkan kepada golongan itu bagi melanjutkan pelajaran di MRSM di seluruh negara. Oleh itu, kenapa harus golongan ini dihalang daripada menerima pendidikan di MRSM?
Berikut adalah data daripada Yayasan Iltizam Malaysia yang menjelaskan bilangan permohonan pelajar-pelajar bukan bumiputera yang juga termasuk pelajar-pelajar daripada SJKC dan SJKT serta sekolah-sekolah lain. Untuk sessi 2019, lebih kurang 3100 permohonan untuk memasukki MSRM diterima dan majoriti besarnya adalah daripada SJK(T) dan SJK(C). Untuk sessi 2020, kami difahamkan jumlah permohonan telah meningkat lagi mendekati 4 ribu.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Menteri YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid harus mempertimbangkan prinsip akses pendidikan kepada semua dan membuka kembali peluang pembelajaran kepada semua anak-anak yang menuntut ilmu di Malaysia. Buka semula kepada pelajar-pelajar yang layak dari kategori sekolah yang dihalang sekarang khususnya SJK(T) dan SJK(C).
Elakkan daripada memangsakan anak-anak yang berpotensi di negara kita. Bukalah peluang kepada mereka. Peluang 10% ini tidak lah merugikan pelajar-pelajar bumiputera atau menidakkan hak mereka untuk belajar di MRSM. Kuota ini adalah kuota tambahan yang lazimnya tidak dapat dipenuhi. Maka, apa salahnya jika dibuka kepada sekolah-sekolah aliran lain ?
Ungkapan “Keluarga Malaysia” yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri DS Ismail Sabri hanya akan merupakan retorik dan sia-sia kalau dasar ini diteruskan oleh KPLB.