Meskipun UMNO Pulau Pinang mesti dikutuk kerana masih hidup dalam masa lalu dan memainkan ancaman 13 Mei sekali lagi, mangsa sebenar adalah gagasan 1Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Maka tiada siapa yang terkejut apabila 1Malaysia kini amat jarang jika pun masih disebut hari ini oleh UMNO atau BN.
Laporan polis akan dibuat oleh wakil rakyat DAP Pulau Pinang terhadap UMNO Pulau Pinang yang melakukan serangan perkauman kepada bukan Melayu dan mengeluarkan kenyataan seperti ‘Kerana mulut pemimpin DAP, 13 Mei 1969 berlaku … Mahu lagi?’ Ancaman ini adalah satu pengakuan yang tersirat oleh UMNO bahawa mereka adalah penyebab tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang menyebabkan kehilangan beribu nyawa tidak berdosa.
UMNO Pulau Pinang telah mengadakan demonstrasi di Seberang Jaya membantah flash mob tema-kangkung oleh ADUN PKR Machang Bubuk Lee Khai Loon yang kononnya mempersendakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum itu menyatakan bahawa harga kangkung telah turun dan tidak meningkat sepertimana barangan lain. Perhimpunan 700 orang UMNO Pulau Pinang itu telah dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican serta pemimpin Perkasa Pulau Pinang.
Kerajaan negeri tidak ada masalah dengan demonstrasi awam UMNO terhadap sesiapa sahaja asalkan dalam keadaan aman. Kami ingin mengingatkan pihak polis untuk membenarkan demonstrasi aman yang sama oleh PR pada masa akan datang. Perhimpunan UMNO cepat bertukar perkauman apabila pemimpin tertinggi DAP telah menjadi sasaran sedangkan Lee Khai Loon dari PKR. Adakah DAP menjadi sasaran mudah UMNO kerana pimpinan tertinggi kami adalah orang Cina, tidak seperti pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang Melayu?
Laporan polis terhadap pemimpin UMNO Pulau Pinang kerana mengancam keamanan dan keharmonian awam dan juga kenyataan berunsur hasutan akan dibuat, tanpa mengharapkan apa-apa tindakan oleh Jabatan Peguam Negara, tetapi untuk menghantar isyarat yang jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan DAP mahupun rakyat kebanyakan akan tunduk kepada ancaman UMNO. Bukan sahaja DAP tetapi Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban tidak mahu peristiwa 13 Mei, hanya UMNO mengeluarkan ancaman tersebut dan bermain dengan api perkauman dan agama bagi mengelak daripada bertanggungjawab terhadap kenaikan harga.
UMNO berada dalam kedudukan rapuh di Pulau Pinang kerana Kerajaan PR Pulau Pinang adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang tidak melaksanakan sebarang kenaikan harga dalam perkhidmatan tempatan di bawah kawalannya. Cukai tafsiran, cukai tanah, bayaran lesen perniagaan dan tarif air tidak meningkat seperti yang dilakukan oleh BN terhadap gula, tarif TNB, petrol dan lebuhraya tol. Rasuah pula semakin parah.
Bagi mengelakkan daripada bertanggungjawab terhadap kenaikan harga dan rasuah, UMNO tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyemarakkan api kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan Islam dan bukan Melayu bagi mengekalkan cengkaman mereka ke atas undi orang Melayu. UMNO pasti naif jika mereka berfikir orang Melayu begitu mudah mempercayai retorik UMNO yang melampau, sedangkan harga barangan terus meningkat, dan demonstrasi UMNO gagal meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh rakyat.