Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong seharusnya tidak mudah berpuas hati dengan hanya menyalahkan pemandu tren LRT yang kosong, kerana kecuaian dalam mengendalikan trennya secara manual yang menyebabkan pertembungan dengan LRT yang membawa 213 penumpang. Wee berkata, penemuan awal mendapati tren kosong bergerak ke arah yang salah, dan bertembung dengan tren penumpang yang bergerak di landasan yang sama tetapi ke arah yang bertentangan.
Siasatan yang menyeluruh dan terperinci diperlukan untuk menentukan bagaimana tren yang dikendalikan secara manual boleh masuk ke landasan yang sama dengan tren yang datang dari arah yang bertentangan. Adakah tren LRT boleh berada di landasan tren tanpa pengetahuan pengawal di pusat kawalan atau sistem pengesanan komputer automatik memberi amaran, isyarat, atau membunyikan loceng penggera bahawa dua tren berada di landasan yang sama tetapi dalam arah yang bertentangan?
Wee mesti memastikan bahawa semua pihak yang bertanggungjawab dan bukan hanya pemandu dihukum kerana kecuaian. Segala usaha perlu dilakukan untuk mencari kebenaran di sebalik kemalangan yang telah menyebabkan kecederaan kepada 213 penumpang, di mana 3 daripadanya berada dalam keadaan parah.
Masa Untuk Lantikan Politik Yang Tidak Layak Dan Tidak Profesional Letak Jawatan Sebagai Pengerusi GLC Seperti Di Prasarana.
Masanya telah tiba untuk lantikan politik yang tidak berkelayakan dan tidak profesional untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti di Prasarana. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari telah dilaporkan di Malaysiakini sebagai tidak bersetuju untuk membenarkan ahli politik mengetuai GLC, walaupun dia adalah Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). PTPK berada di bawah Kementerian Sumber Manusia
Bagaimanapun Ahmad tidak ikhlas dan tidak bertanggungjawab apabila dia memberikan syarat untuk meletakkan jawatannya, bahawa orang yang dilantik untuk menggantikannya sebagai Pengerusi mestilah dari partinya, PAS. Jelas PAS telah memungkiri janji mereka sebelum ini bagi memastikan pengurusan profesional GLC yang ditugaskan sebagai penjaga dana awam berpuluh-puluh bilion ringgit.
Prestasi Prasarana yang membimbangkan dalam mengurus kemalangan pertembungan tren LRT ini, sangat tidak memuaskan dan mendesak kepada keperluan segera ahli politik diganti sebagai Pengerusi oleh golongan profesional yang cekap dan berkelayakan, yang mampu menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.