Skip to content

Bukan Pelan Pemulihan Nasional bagi pandemik COVID-19 tetapi Plot Politik Nasional untuk menghalang pembukaan semula segera Parlimen

Pelan Pemulihan Nasional empat fasa Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin bagi pandemik Covid-19 adalah satu lagi simbol kegagalan Kerajaan PN dalam menangani pelbagai krisis yang sedang dihadapi negara ketika ini. Daripada rancangan keluar (exit plan) untuk negara keluar dari pandemik COVID-19, Mahiaddin hanya menawarkan garis panduan mengenai bagaimana negara boleh beralih dari satu fasa ke fasa yang lain dan sejauh mana sektor sosial dan perniagaan dapat dibuka kembali.

Bagaimanakah garis panduan ini dapat membantu negara mengurangkan jumlah kematian dan jangkitan harian yang menjadikan Malaysia salah satu negara yang paling teruk terjejas di dunia? Walaupun dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion, tidak disebut tentang mempercepatkan penghantaran bekalan vaksin lebih awal atau proses vaksinasi yang cepat dan lancar. Tidak ada pengumuman untuk memperluas atau meningkatkan 3T – ujian besar-besaran, pengesanan kontak rapat dan rawatan.

Tidak ada Pelan Pemulihan Nasional sama sekali. Mahiaddin perlu diingatkan bahawa dengan kegagalan untuk merancang, Mahiaddin merancang untuk kegagalan. Rakyat Malaysia kecewa kerana tidak ada pakej bantuan kewangan baharu untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian. Di manakah subsidi sewa, gaji dan utiliti dan geran perniagaan atau kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000 bagi golongan miskin dan penganggur?

Berdasarkan 3 Kriteria Yang Ditetapkan, Parlimen Perlu Bersidang Segera.

Jelas bahawa rancangan keluar Mahiaddin dirangka untuk menghalang pembukaan semula segera Parlimen, terutama berikutan titah Yang DiPertuan Agong sebelum ini bahawa Darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang. Mahiaddin menyebut tiga kriteria mesti dipenuhi untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang lain, iaitu jumlah kes COVID-19 harian, kapasiti ICU di seluruh negara dan jumlah populasi yang telah divaksin (dengan dua dos).

Mahiaddin menyatakan bahawa Parlimen hanya boleh dibuka semula di bawah Fasa 3, pada bulan September atau Oktober. Jika berdasarkan ketiga-tiga kriteria berkenaan, Parlimen boleh dibuka semula dengan segera dan tidak perlu menunggu hingga Oktober. Tidak ada kes COVID-19 harian baru di kalangan Ahli Parlimen, tidak ada seorang pun MP menerima rawatan di ICU dan semua MP telah diberi vaksin. Oleh itu, apa yang menghalang Parlimen daripada dibuka semula dengan segera?

Jelas bahawa Mahiaddin tidak boleh mengambil risiko mengadakan sidang Parlimen yang hanya akan mendedahkan kehilangan majoriti parlimennya, sama ada dalam bentuk kekalahan usul atau rang undang-undang kerajaan. Ini bukan Pelan Pemulihan Nasional untuk COVID-19 tetapi Plot Politik Nasional untuk menghalang pembukaan semula segera Parlimen.