Setakat ini, 2 kanak-kanak Orang Asli daripada 7 yang hilang pada 23 Ogos lalu telahpun dijumpai selamat dan dalam keadaan yang memilukan – amat kurus dan sangat lemah.
Setiap rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih dan penghargaan tertinggi kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diatas segala usaha mereka bertungkus-lumus dalam usaha mereka tanpa putus asa untuk mencari ketujuh-tujuh kanak-kanak yang hilang tempoh hari.
Setelah lebih satu bulan mencari, walaupun ucapan kesyukuran kuat didengari apabila dua kanak-kanak telah selamat dijumpai hampir 500m daripada tempat mereka dilaporkan hilang namun penemuan kanak-kanak ini setelah lebih sebulan amat mengejutkan dan mengelirukan dan menimbulkan seribu satu persoalan.
Dalam banyak persoalan yang membelenggu dan mengelilingi insiden ini, pokok persoalannya adalah bagaimana pengawal keselamatan, jika ada seorang pengawal, membenarkan atau terlepas pandang kanak-kanak semuda 7 hingga 11 tahun yang telah menyelinap keluar dari perkarangan SK Tohoi tanpa pengetahuan pihak sekolah dan apakah keadaan sebenar sekolah tersebut sehingga kanak-kanak ini terpaksa berlari keluar untuk mandi di sungai yang berdekatan?
Memandangkan SK Tohoi tiada seorang pun guru wanita mahupun ‘warden’ wanita disana, mungkinkah ini salah satu faktor yang menyumbang kepada pelajar-pelajar melarikan diri dari sekolah itu? Adakah seorang Pembantu Pengurus Murid atau ‘warden’ di sekolah asrama Orang Asli ini yang bergred N17 dilengkapi dengan sifat kesabaran, pengalaman yang mencukupi untuk memberikan nasihat dan pengetahuan dalam psikologi kanak-kanak untuk memberikan kaunseling yang secukupnya? Mengikut statistik Kementerian Pendidikan, nisbah pelajar kepada warden asrama adalah 40:1. Adakah ini berlandaskan garispanduan yang terbaik untuk tumbesaran kanak-kanak di sekolah? Mungkinkah ini salah satu sebab yang mendorong kesemua kanak-kanak ini melarikan diri? Kerana tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?
Dalam satu berita di laman web New Straits Times pada 6 Oktober 2015, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk mengkaji aspek keselamatan di asrama dan sekolah-sekolah khas bagi pelajar-pelajar Orang Asli.
Menurut Timbalan Menteri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, “Satu mekanisme baru perlu dijalankan dalam mengkaji sensitiviti masyarakat Orang Asli dan perkara ini akan dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran… mungkin satu pendekatan baru dalam menjaga sensitiviti Orang Asli perlu diberi perhatian,” katanya.
Setelah wujudnya 94 sekolah asrama Orang Asli dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia, adalah amat memalukan dan memeranjatkan apabila seorang yang berpangkat Timbalan Menteri Pendidikan mengeluarkan kenyataan untuk mengkaji aspek keselamatan di asrama pelajar-pelajar Orang Asli selepas 58 tahun mencapai kemerdekaan dalam insiden menjejaki 7 kanak-kanak yang dilaporkan hilang.
Sepatutnya, kualiti pendidikan yang terbaik, prasarana yang kondusif serta keselamatan pelajar-pelajar diberikan keutamaan yang tertinggi oleh mana-mana Kementerian Pendidikan di dunia memandangkan ia merupakan pelaburan terbaik bagi masa depan sesebuah negara. Malangnya, di Malaysia setelah nasi menjadi bubur, masa itulah semua pihak kerajaan akan tergopoh-gapah menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha dengan “gigih” dalam usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak yang hilang di Gua Musang lebih sebulan yang lalu.
Bukan sahaja usaha untuk mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli wajib dipergiatkan lagi, tetapi Kementerian Pendidikan harus dipertanggungjawabkan kerana tidak menjamin prasarana yang kondusif dan selamat bagi kanak-kanak di SK Tohoi, Gua Musang.