Skip to content

Bulat Pakatan Harapan kerana muafakat: Tiada siapa berhak desak sisihkan parti komponen

Sayap Sosialis Muda DAP menyokong penuh tindakan tegas Setiausaha Organisasi DAP Pusat, saudara Anthony Loke yang merujuk Sdr Ronnie Liu kepada jawatankuasa displin parti atas kenyataan beliau yang tidak bertanggungjawab dan menjejaskan kesepakatan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan telah menjayakan pelbagai agenda rakyat sejak kemenangan dalam PRU14. Pencapaian ini tidak dapat diperoleh tanpa sokongan padu semua parti komponen Pakatan Harapan. Tiada siapa pun dalam Pakatan Harapan boleh mendesak mana-mana parti komponen sama ada DAP, BERSATU, AMANAH atau KEADILAN untuk disisihkan daripada gabungan ini.

Panggilan untuk membentuk kerajaan tanpa mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan adalah panggilan yang pendek akal dan tidak munasabah. Setiap parti mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing yang membawa nilai tersendiri dalam kepimpinan negara. Seruan pecah belah sebegini adalah perangkap yang dipasang oleh pihak yang meletakkan kepentingan politik sendiri atas agenda negara.

Berpandukan aspirasi rakyat, kepimpinan Pakatan Harapan dalam Kerajaan Persekutuan telah berjaya memanifestasikan pelbagai agenda kemakmuran kepada seluruh rakyat. Jatuhnya rejim kleptokrasi zalim bawah Najib Razak adalah sebahagian daripada senarai panjang pencapaian yang kita kecapi bersama dalam Pakatan Harapan. Kita belum pun lagi separuh penggal dalam mandat yang diberikan rakyat. Masih banyak kerja-kerja untuk mencuci kerosakan rejim terdahulu dan membina semula negara. Masanya untuk kita semua rapatkan saf dan tetap fokus kepada reformasi pentadbiran and institusi awam agar semua rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama.

Pun begitu, setiap parti mempunyai kaedah tatatertib tersendiri dalam menguruskan sebarang pertikaian disiplin anggota-anggotanya. Perlu diingatkan semua pihak luar untuk tidak masuk campur urusan dalaman parti, manakala setiap pertikaian antara parti perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi Majlis Presiden Pakatan Harapan. Semua pihak perlu menghormati mekanisme yang telah ditentukan ini supaya ia dapat menjalankan fungsinya sebaik mungkin.