Skip to content

‘Buli jalanraya’ dengan pantas dihukum, samseng Umno masih bebas. Apa sebabnya?

Kecekapan pihak polis mengambil tindakan terhadap Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, atau lebih dikenali ramai sebagai Kiki perlu dipuji.

Dalam masa yang begitu singkat, dan dengan berdasarkan hanya satu rakaman video oleh orang yang tidak dikenali, pihak polis berjaya membawa Kiki ke muka pengadilan.

Kiki hari ini dijatuhkan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selain diperintahkan melakukan kerja-kerja khidmat sosial selama 240 jam.

Dalam masa lebih kurang satu minggu, Kiki yang bertindak ganas setelah kereta barunya digesel dan video perilakunya itu tersebar ke seluruh negara dalam sekelip mata; disiasat, didakwa dan diadili.

Ini terjadi meskipun mangsa keganasan Kiki, Sim Siak Hong, seorang pesara berusia 68 tahun, telah pun memaafkan Kiki, malah meminta rakyat Malaysia untuk memaafkan wanita tersebut.

Dalam bulan Ramadan yang mulia, dengan kurang seminggu lagi sebelum umat Islam seluruh negara menyambut kedatangan Syawal, budaya bermaafan amat-amat wajar dipuji.

Pun begitu, aneh sekali apabila kita menyorot kembali peristiwa rusuhan di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur yang didalangi kumpulan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang terjadi genap dua bulan lalu.

Dalam peristiwa terbabit, rusuhan pemuda-pemuda Umno itu dirakam pelbagai pihak, malah dirakam dan disaksikan pihak polis sendiri; namun sehingga hari ini tidak ada pun mana-mana pelakunya diberkas, ditahan lokap apatah lagi didakwa di mahkamah.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii yang dilaporkan mengugut mahu membakar bangunan ibu pejabat DAP dalam kejadian itu malah masih bebas mengeluarkan kenyataan ‘balik tongsan’ kepada isteri Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik, baru-baru ini.

Beberapa persoalan timbul, termasuk kenapa begitu pantas sekali pihak polis bertindak terhadap Kiki, dalam keadaan bukti terhad; tetapi masih belum bertindak terhadap perusuh-perusuh ibu pejabat DAP meskipun banyak laporan berita dan dokumentasi dilakukan.