Baru-baru ini akbar tempatan dan antarabangsa melaporkan satu kes di mana seorang rakyat Malaysia bernama Glenn Francis Leonard ataupun dikenali sebagai “Fat Leonard” pemilik syarikat Glenn Defence Marine Asia (GDMA) telah terlibat dalam dakwaan kes rasuah melibatkan pegawai-pegawai kanan dalam angkatan tentera laut, Navy Amerika Syarikat. Media antarabangsa telah menggelar perkara ini sebagai skandal rasuah paling besar dalam sejarah Navy Amerika Syarikat. Dipercayai sejak 2011, GDMA telah dberikan kontrak bernilai USD200 juta (~RM640 juta) oleh Navy Amerika Syarikat.
Laporan The Star, menyatakan bahawa, antara modus operandi Fat Leonard ialah untuk mengalihkan kapal perang Amerika Syarikat di rantau ini untuk berlabuh di “pearl ports” seperti Phuket di Thailand dan Pelabuhan Klang di Malaysia. Maksud “pearl ports” diberi oleh laporan tersebut sebagai, “where it would be easier to fake invoices and jack up charges”.
Pencarian mendapati bahawa syarikat GDMA sememangnya beroperasi di Pelabuhan Klang dan sebuah syarikat di bawah Glenn Marine Group mengendalikan terminal kapal pelayaran, Port Klang Cruise Centre.
Ini jelas menunjukkan kegagalan pengurusan dan penguatkuasaan di Pelabuhan Klang sehingga menjadi satu pusat untuk sindiket penipuan.
Laporan media antarabangsa menunjukkan dokumen mahkamah di Amerika Syarikat mendedahkan bahawa lawatan kapal perang USS George Washington ke Pelabuhan Klang pada Oktober 2012 adalah sebahagian daripada rancangan penipuan oleh Fat Leonard melibatkan pegawai kanan dalam US Navy.
Ini sekaligus merupakan tamparan dan penghinaan ke atas Menteri Pertahanan Malaysia pada ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi yang begitu yakin menolak kecaman Naib Presiden PAS ketika itu Mahfuz Omar yang mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan kapal perang Amerika berlabuh di Pelabuhan Klang. Menteri berkata bahawa kunjungan USS George Washington adalah untuk meningkatkan hubungan dua hala dan diplomasi ketenteraan padahal ia suatu skandal penipuan dan rasuah.
Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Abdul Latiff Ahmad turut berkata bahawa lawatan USS George Washington merupakan peluang ekonomi untuk Malaysia. Namun jelas, ia lebih merupakan peluang ekonomi untuk Fat Leonard.
Skandal Fat Leonard ini perlu dipandang serius kerana melibatkan aktiviti ketenteraan negara kita dan aktiviti ketenteraan negara-negara lain. Di Amerika Syarikat, pegawai-pegawai kanan dalam Navy telahpun digantung kerja dan disiasat. Ini merupakan krisis dalam aktiviti kententeraan dan juga pentadbiran pelabuhan terutamanya Pelabuhan Klang. Bukan sahaja kerajaan Amerika Syarikat, malah Singapura, Thailand dan Australia sudah mula menyiasat skandal Fat Leonard melibatkan operasi di negara masing-masing.
Di sini, saya mohon kerajaan untuk jawab dan laksanakan 5 perkara berikut dengan serta merta bagi menangani krisis skandal Fat Leornard ini:
- Menurut laman web GDMA, angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia merupakan antara pelanggan GDMA. Saya nak tahu berapakah nilai urusniaga dan apakah jenis urusniaga tersebut yang berlaku antara GDMA serta syarikat berkaitan dengan TLDM selama ini. Satu siasatan serta audit menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap TLDM untuk memastikan tiada elemen rasuah, pecah amanah dan pecah rahsia ketenteraan negara. Laporan siasatan menyeluruh mestilah dikemukakan kepada Parlimen di Dewan Rakyat ini kerana melibatkan kepentingan negara yang teramat mustahak sekali.
- SPRM juga patut menyiasat untuk membersihkan nama Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu daripada sebarang penglibatan dalam sindiket penipuan Fat Leonard terutamanya dalam kes mengalihkan pelayaran USS George Washington ke Pelabuhan Klang dan lain-lain aktiviti syarikat berkaitan Fat Leonard.
- Memandangkan Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa lawatan tersebut merupakan peluang ekonomi kepada Malaysia, saya nak tahu berapakah bayaran dockage, wharfage dan yuran lain yang telah dibayar oleh USS George Washington semasa mendarat 5 hari di Pelabuhan Klang pada Oktober 2012 dan juga apakah keuntungan kewangan lain yang diperoleh serta apakah syarikat yang memperolehinya.
- Kerajaan Amerika Syarikat telah menggantung segala urusan dengan GDMA, justeru, kerajaan Malaysia perlu menghentikan segala urusan dengan syarikat berkaitan dengan Fat Leonard sehingga satu siasatan penuh dilakukan untuk memastikan tiada unsur jenayah berlaku selama ini.
- Skandal Fat Leonard ini bersifat krisis, kerana ia melibatkan kepincangan dalam aktiviti ketenteraan dan pentadbiran pelabuhan. Malah salah seorang pengarah Glenn Defense Marine dan Glenn Marine Group Malaysia merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia. Justeru, saya menggesa kerajaan mengeluarkan satu kertas putih kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan penjelasan lanjut termasuk hasil siasatan skandal Fat Leonard tersebut.