Dalam 3 minggu lagi masyarakat India khususnya yang beragama Hindu akan menyambut perayaan Deepavali. Perayaan Deepavali merupakan satu perayaan meriah yang disambut oleh masyarakat India iaitu golongan yang ketiga terbesar di negara ini. Walau bagaimanapun, sambutan Deepavali hanya diberi cuti umum satu hari sahaja.
Bukan macam Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina, perayaan Deepavali tidak mendapat pengiktirafan yang setaraf. Kerajaan hanya memberi cuti sehari kepada masyarakat India. Ini terbukti kerajaan tidak prihatin dan memberi penghormatan kepada kaum India yang turut memberi sumbangan dalam pembangunan dan kemajuan negara ini.
Isu ini bukanlah perkara baru. Rakyat dan pembangkang pernah membangkitkan isu ini dari dahulu lagi. Tetapi, kerajaan langsung tidak mempedulikan permintaan masyarakat India. Ini adalah kerana pemimpin-pemimpin India daripada Barisan Nasional terutamanya MIC tidak berani untuk menuntut cuti dua hari untuk Deepavali.
Adalah amat memeranjatkan masyarakat India apabila Presiden MIC Datuk Seri Palanivel membuat pengumuman pada tahun lepas bahawa MIC mahu menuntut cuti dua hari daripada kerajaan. Tiba-tiba Presiden MIC itu menunjukkan watak berani dan memberangsangkan. Tetapi, barulah kita sedar bahawa beliau juga pandai bersandiwara menipu masyarakat India di negara ini.
Bukan sahaja sekadar itu, beliau juga menyatakan bahawa perkara ini telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri. Beliau menegaskan Perdana Menteri akan mempertimbangkan permohonan MIC itu. Datuk Seri Palanivel telah memberi harapan palsu kepada kaum India yang telah beri kepercayaan kepada beliau.
Saya mencabar Presiden MIC Datuk Seri Palanivel dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang lain supaya berani mendesak kerajaan untuk mengumumkan cuti dua hari untuk sambutan Deepavali tahun ini. Saya berharap pemimpin-pemimpin MIC yang lain juga bersetuju dengan pendapat dan cabaran saya itu. Jika sekiranya tidak dapat melaksanakan hasrat rakyat ini, MIC harus mengaku bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak menghormati masyarakat India dan menganggap MIC sebagai satu parti ‘nyamuk’.