Kes kebocoran soalan peperiksaan UPSR telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, terutama ibu-bapa calon-calon UPSR tahun ini.
Namun cadangan mencetak kertas peperiksaan UPSR di luar negara, dalam hal ini di UK seperti yang dilaporkan media; tidak lain adalah perbuatan mengarut dan membazir; serta merupakan satu cadangan dangkal yang tidak pun menangani masalah kebocoran soalan peperiksaan tersebut.
Jika cadangan sebegini pun boleh dipertimbangkan, tidak hairan lah bagaimana tugas mudah menyimpan rahsia soalan peperiksaan pun tidak dapat dilaksanakan.
Isunya bukan di mana kertas peperiksaan dicetak; tetapi bagaimana soalan-soalannya bocor, siapa yang terlibat dan apa sebab pihak-pihak yang terlibat berbuat demikian.
Takkanlah kes soalan bocor pun mahu dijadikan alasan untuk mencipta peluang mewujudkan projek baru. Cadangan mencetak kertas soalan di UK adalah cadangan pemalas. Cuba jangan iyakan dakwaan Tun Dr Mahathir. Usahalah lebih sedikit dan berikan cadangan yang lebih bernas, dan bukan cadangan pemalas.
Soal integriti penjawat awam adalah persoalan utama dalam hal ini. Bukan soal cetak di mana. Kalau sudah wujud sikap tidak amanah yang membarah di kalangan penjawat awam, cetak di mana-mana pun akan ada orang yang bocorkannya.
Integriti harus dibina dari dalam kementerian dan agensi-agensinya dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab. Heret mereka ke mahkamah atas pertuduhan jenayah dan sumbat mereka ke penjara memandangkan tindakan memecat orang seperti ini nampaknya tidak memberikan kesan.
Saya menggesa Kementerian Pendidikan mendedahkan kepada orang ramai, terutamanya ibu-bapa calon-calon UPSR yang teraniaya akibat kecuaian ini; siapa yang bertanggungjawab di sebalik kes kebocoran ini dan kenapa ia berlaku.
Itulah yang sepatutnya. Bukan buat keputusan mudah sang pemalas dengan mencadangkan supaya kertas peperiksaan dicetak di UK.