Skip to content

CADANGAN MEWUJUDKAN JAWATAN MENTERI HAL EHWAL BUKAN ISLAM TIDAK MENCABAR KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN TETAPI MEMENUHI JAMINAN PERKARA 11 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Kami yang juga merupakan peguam beramal meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui, untuk mewujudkan satu jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam di peringkat kerajaan Persekutuan.

Adalah jelas cadangan Ahli Parlimen Raub tersebut langsung tidak menyentuh dan menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan kerana sekadar lantikan seorang Menteri bagi menjaga hal ehwal bukan Islam tidak mungkin akan mencabar kedudukan agama Islam kerana ia terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat pihak-pihak seperti Pemuda PAS dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang mengatakan cadangan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak benar kerana tiada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan lantikan Menteri yang menjaga agama lain selain daripada agama Islam. Sebaliknya, cadangan tersebut harus diteliti dan dipertimbangkan dengan rasional kerana pengamalan agama-agama lain turut dilindungi dan dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan:

Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Menurut bancian tahun 2020, kira-kira 63.5% daripada 32.4 juta populasi rakyat Malaysia adalah beragama Islam dan kira-kira 36.5% yang lain merupakan penganut agama bukan Islam. Namun demikian, setakat hari ini tiada Menteri yang khas ditugaskan untuk menjaga hal ehwal agama-agama bukan Islam di mana ia terdiri daripada kira-kira 10 juta orang penganut.

Ramai yang mengatakan bahawa negara kita telah mempunyai Menteri Perpaduan sebagai alasan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam tidak diperlukan. Kita harus faham bahawa tugas hakiki seorang Menteri Perpaduan bukannya untuk menjaga keperluan agama-agama bukan Islam tetapi untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum dalam negara kita. Kita juga harus mengakui bahawa keperluan golongan hal ehwal bukan Islam juga perlu ditangani dan dipandang serius oleh Kerajaan Persekutuan walaupun bukan merupakan agama persekutuan negara.

Malah, cadangan Ahli Parlimen Raub bukannya idea baharu kerana ia telah lama dilaksanakan di negeri-negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor di mana seorang EXCO Hal Ehwal Bukan Islam dilantik dalam negeri tersebut untuk menjaga keperluan golongan bukan Islam. Semasa jawatan tersebut dilantik, terdapat juga wakil-wakil PAS, BERSATU dan UMNO yang pernah berada dalam kerajaan-kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun, kedudukan agama Islam di negeri-negeri tersebut tetap terjamin dan tidak pernah dicabar.

Malah dengan adanya jawatan ini, kerajaan dapat:

1. Menyediakan platform rasmi bagi membincangkan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan agama bukan Islam secara adil dan saksama.
2. Memastikan dasar-dasar kerajaan mengambil kira keperluan serta sensitiviti masyarakat bukan Islam.
3. Memperkasakan dialog antara agama bagi memupuk keharmonian dan perpaduan nasional.
4. Mengurangkan ketidakseimbangan dalam pentadbiran hal ehwal agama di Malaysia.
5. Menangani cabaran dan keperluan institusi keagamaan bukan Islam, termasuk tempat ibadat, pendidikan agama, dan kebajikan masyarakat.

Kami mengecam dengan tegas cubaan parti pembangkang serta sesetengah pemimpin UMNO seperti Dr Akmal Saleh yang cuba mengaitkan cadangan tersebut sebagai mencabar kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan bagi meraih publisiti politik murahan.

Kami menyeru semua pihak tidak terperangkap dengan permainan politik Perikatan Nasional dan Dr Akmal Saleh tetapi meneliti secara rasional dan konstruktif cadangan ini demi kepentingan semua rakyat Malaysia.