Cadangan pemindaan Akta 342 untuk mengenakan saman maksimum RM100,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali kepada individu yang ingkar SOP Coronavirus dilihat sangat melampau dan hanya akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada orang ramai dan pihak penguatkuasa. Pihak syarikat dan organisasi pula dicadangkan saman sebanyak RM 1 juta. Hal ini juga sudah dibangkitkan kepada kerajaan untuk mengurangkan saman tersebut akan tetapi hari ini, hukuman tersebut hanya dapat dikurangkan kepada RM50,000 atau penjara untuk tempoh maksimum tiga tahun dan untuk pihak syarikat pula dikurangkan kepada RM500,000. Jelas di sini nilainya masih sangat besar dan membebankan kepada individu dan syariktat-syarikat yang kecil. Pengumuman berkenaan pemindaan tersebut juga sudah mendatangkan kemarahan dan rasa tidak puas hati kepada orang ramai.
Tempoh hari, ketika kerajaan melangsungkan program Majlis Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia, sudah terang lagi bersuluh kerajaan sendiri mengingkari SOP dan hukuman yang dikenakan pula begitu kecil nilainya, hanya RM1,000. Permasalahan yang dapat kita lihat di sini adalah bagaimanakah kerajaan akan memberi jaminan bahawa tiadanya isu dwidarjat dalam hukuman saman yang diberikan seperti yang berlaku sebelum ini? Dulu, kita dapat lihat pihak berkuasa begitu tegas dalam memberikan saman maksimum kepada mereka yang ingkar SOP tanpa sifat perimanusiaan. Kita telah banyak membaca berita-berita berkenaan pekerja buruh dikenakan saman yang tinggi, berpuluh-puluh ribu nilainya manakala mereka daripada golongan VVIP dan menteri pula dikenakan denda yang hanya dalam lingkungan ribu-ribu sahaja. Selain itu, ada daripada mereka ini pula kesnya diklasifikasikan “no further action”.
Dalam pada itu, hukuman saman yang tinggi untuk golongan individu ini juga akan membuka peluang untuk pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka dan mengambil rasuah. Kita tidak boleh menafikan, budaya rasuah di negara kita sudah menjadi-jadi dan kita dapat lihat di peringkat orang kebanyakan, ramai orang telah menjadi mangsa, dan apa yang lebih menyedihkan kebanyakan kes rasuah ini berlaku terhadap mereka yang tidak berani berbuat apa-apa. Kita juga sudah dengar banyak berita berkenaan orang ramai yang diancam oleh pihak berkuasa sekiranya tidak memberikan mereka “duit kopi” yang diminta.
Mengikut kenyataan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, pindaan ini akan dibincangkan dulu di peringkat jawatankuasa parlimen sebelum diluluskan. Oleh yang demikian, sekiranya pindaan ini dibahaskan dan diundikan di parlimen esok, saya akan pasti menolak pindaan bil ini dan saya akan meminta pihak kerajaan untuk menilai semula struktur saman yang perlu diberikan kepada mereka yang ingkar SOP. Sudah tiba masanya kita mengenakan saman berdasarkan kelas dan bukan secara pukul rata!