Skip to content

Cadangan penjajaran semula laluan “West Ipoh Span Expressway (WISE)” untuk dipanjangkan ke Kampar dan Tapah

Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani telah mengumumkan cadangan membina laluan alternatif ataupun West Ipoh Span Expressway (WISE) yang akan susur dari Gopeng ke Kuala Kangsar supaya pengguna Lebuhraya Utara-Selatan tidak melalui Terowong Menora. Menteri Besar juga menyatakan bahawa projek tersebut akan dibina di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan tidak menggunakan dana kerajaan.

Walaupun pembinaan WISE akan ditanggung dibawah PFI, ia juga akan menjadikan beban kepada rakyat, mungkin tidak dalam masa pembinaan tetapi dalam masa yang depan. Ini disebabkan pihak swasta yang membina projek tersebut tentu akan menggunakan tol sebagai sumber penanggungan kos pembinaan tersebut. Oleh itu, secara tidak langsung, rakyat akan membayar untuk pembinaan tersebut walaupun dana awam tidak digunakan. Oleh yang demikian, saya cadangkan kerajaan negeri menggunakan proses tender terbuka untuk WISE supaya dapat menjalankan projek tersebut dengan kos yang lebih munasabah supaya tidak menimbulkan beban yang berat terhadap pengguna pada masa depan.

Saya memahami rancangan WISE dari susur keluar Gopeng melalui Siputeh sebelum keluar di Kuala Kangsar adalah untuk mengurangkan kemalangan dan kesesakan trafik di Terowong Menora. Tetapi ini hanya dapat menyelesai separuh masalah sahaja, ia masih tidak dapat mengelak laluan Lebuhraya Utara-Selatan antara Gopeng dan Tapah berdekatan Gua Tempurung yang merupakan Kawasan kemalangan yang berbahaya.

Selain itu, laluan WISE dari Kuala Kangsar ke Gopeng(64km) didapati lebih panjang daripada laluan asal Lebuhraya Utara-Selatan(49km). Oleh itu, rancangan semasa WISE adalah kurang munasabah. Saya mencadangkan bahawa laluan WISE dipanjangkan ke Kampar dan keluar di Tapah dan bukan bertamat di Gopeng. Laluan Kuala Kangsar-Siputeh-Kampar-Tapah tersebut dapat mengelak dan mengurangkan risiko kemalangan di dua lokasi, iaitu Terowong Menora dan kawasan Gua Tempurung. Lebih lagi, laluan tersebut dapat merangsang ekonomi di bandar-bandar yang berada di daerah Kampar dan Tapah, terutamanya dalam sektor pelancongan. Lagipun, kalau laluan dipanjangkan ke Kampar-Tapah, jarak perjalanan tersebut merupakan laluan yang lebih pendek daripada jalanan asal di Lebuhraya Utara-Selatan. Oleh itu, pemanjangan tersebut adalah pilihan yang lebih munasabah untuk projek WISE.

Saya juga ingin mengingatkan Kerajaan Barisan Nasional bahawa kerajaan BN masih belum menunaikan janji untuk membina susur keluar lebuhraya PLUS di Kampar. Sejak 90-an semasa setiap pilihanraya, BN telah memberi janji dan manifesto untuk membina susur keluar Lebuhraya PLUS di Kampar, namun sehingga hari ini, janji tersebut tidak kesampaian. Daerah Kampar mempunyai penduduk mencecah 120,000 dan ia adalah tidak adil dan menyusahkan Rakyat Kampar tanpa susur keluar lebuhraya. Banyak pekan-pekan yang lebih kecil dari Kampar telahpun mempunyai susur keluar Lebuhraya. Dengan penjajaran semula WISE ke Kampar-Tapah, ia dapat memudahkan perjalanan ke Kampar dan juga dapat merancakkan ekonomi di Kampar dan Tapah.

Saya telahpun mengutus surat kepada Menteri Besar Perak untuk mempertimbangkan cadangan untuk menjajar semula laluan WISE supaya ia dapat dipanjangkan ke Kampar dan Tapah. Dengan berbuat demikian, nyawa akan diselamatkan, ekonomi akan dirangsang dan rakyat akan bermanfaat.

(Gambar 1):Laluan WIST semasa hanya dapat mengelak kawasan kemalangan di Terowong Menora tetapi tidak mengelakkan kawasan kemalangan Gua Tempurung.

(Gambar 2):Penjajaran Semula WISE yang dicadangkan bukan sahaja boleh mengelakkan kedua-dua kawasan kemalangan Terowong Menora dan Gua Tempurung. Ia juga merupakan laluan yang lebih pendek berbanding laluan Lebuhraya Utara-Selatan.