Cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dipaparkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 15hb September 2016 jelas membayangkan angkara SPR cuba membantu UMNO pada Pilihanraya Umum ke-14. Ini jelas ditunjukkan dengan pemindahan pengundi dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain dengan tidak memgambil kira kepadatan penduduk. Dalam cadangan yang di pamerkan, daerah mengundi Bandar Sungai Long dan Bandar Mahkota yang mempunyai jumlah pengundi sebanyak 8838 orang telah di keluarkan dari kawasan DUN Dusun Tua dan dipindahkan ke DUN Kajang. Menurut rekod PRU 13 yang lalu, kedua-dua kawasan ini merupakan kubu kuat pembangkang dan sekiranya ia berjaya di keluarkan dari Dusun Tua, maka peluang calon UMNO memenangi kerusi DUN Dusun Tua dan Parlimen Hulu Langat bertambah tinggi jika pengiraan di buat berdasarkan keputusan PRU 13 iaitu DUN Dusun Tua dan Parlimen Hulu Langat di menangi oleh pembangkang dengan majoriti 4071 undi dan 17,267 undi masing-masing. Ini belum diambil kira 3704 pengundi penyokong kerajaan yang di pindahkan dari DUN Kajang ke Dusun Tua.
Selain daripada itu, di DUN Semenyih yang juga di letakkan di bawah Parlimen Hulu Langat pula, kerusi yang di menangi oleh Johan Bin Abdul Aziz dengan majoriti 4071 juga terdapat pemindahan pengundi yang luar biasa. Sejumlah 8382 pengundi dari Taman Asa Jaya, Bandar Teknologi Kajang, Kajang Perdana dan Sungai Jeluk yang kebanyakannya merupakan penyokong pembangkang telah di pindah keluar dari DUN Semenyih selain memindahkan 9428 pengundi dari Semenyih Barat, Kantan Permai dan Bukit Mahkota ke dalam DUN Semenyih. Jika perbandingan dibuat berdasarkan keputusan PRU 13, jelas persempadanan semula ini memihak kepada UMNO. Pemindahan pengundi-pengundi ini nyata merupakan suatu angkara untuk membantu mempertahankan kerusi UMNO dan memenangi kerusi yang terjatuh kepada pembangkang pada PRU 13 yang lalu.
Ini juga jelas menunjukkan sikap mementingkan diri oleh UMNO tanpa mengambil kira peluang memenangi kerusi oleh parti-parti komponen BN. Persempadanan semula kali ini jelas hanya mementingkan peluang UMNO sahaja untuk memenangi kerusi. Justeru, selain daripada pembangkang, parti-parti komponen BN terutamanya MCA harus melancarkan bantahan terhadap cadangan ini sekurang-kurangnya untuk mempertahankan maruah mereka di dalam BN walaupun maruah tersebut hanya sekadar minima sahaja.