Skip to content

Cadangan untuk mencapai “Win-Win Situation” antara pihak berkuasa negeri dan pekebun yang diambil tindakan penguatkuasaan

Satu operasi penguatkuasaan yang melibatkan 61 buah kebun di Sungai Ichat, Cameron Highlands telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 Februari lalu. Kebun-kebun itu dimusnahkan sebegitu sahaja dan pekebun kecil itu akan kehilangan sumber rezeki kehidupan kerana solusi tidak diberikan.

Saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong sepenuhnya kepada usaha Kerajaan untuk melestarikan Daerah Cameron Highlands. Namun begitu, operasi penguatkuasaan yang dijalankan akan melibatkan beratus-ratus keluarga yang telah menjalankan kegiatan pertanian di Cameron Highlands sejak turun-temurun.

Soalannya, di samping penguatkuasaan dijalankan, adalah wajar Pihak Berkuasa Negeri menawarkan “jalan keluar” untuk pekebun-pekebun yang diusirkan itu. Mereka bukannya penceroboh dari luar tetapi kebanyakannya telah mengusahakan kegiatan pertanian di Cameron Highlands kecil-kecilan sejak turun-temurun.

Pekebun-pekebun itu memerlukan satu langkah dan pendekatan kemanusiaan. Apabila saya mencadangkan solusi untuk penempatan semula pekebun itu, ada pihak yang menyatakan bahawa cadangan ini tidak adil kepada mereka yang mematuhi undang-undang dan kemungkinan besar menggalakkan penerokaan haram pada masa depan.

Oleh sedemikian, saya ingin memanjangkan satu cadangan kepada semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Negeri untuk melestarikan alam sekitar dan juga menjamin kehidupan pekebun-pekebun, iaitu Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merupakan satu strategi di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) untuk menggalakkan pelaksanaan projek pertanian secara berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi. Namun begitu, projek TKPM ini boleh dijadikan satu pusat pemindahan kebun yang diambil tindakan di Daerah Cameron Highlands dengan syarat-syarat tertentu.

Projek TKPM ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian dengan bertujuan untuk menyediakan kawasan tanaman makanan. Di seluruh Malaysia, kita telah membangunkan 76 buah TKPM di mana Negeri Pahang mempunyai 18 tapak TKPM. TKPM di Lancang, Daerah Temerloh merupakan satu projek TKPM paling luas di Malaysia dengan keluasan fizikal 3,600 hektar (10,000 ekar) yang mula dibangunkan semenjak tahun 2005. Oleh itu, Ini bukan satu projek yang baru maka kita tidak perlu bimbang dari segi pelaksanaan dan pengendalian.

Objektif Projek TKPM di Cameron Highlands adalah untuk mewujudkan satu zon kekal bagi pengeluaran tanaman makanan secara lestari, mesra alam dan berteknologi tinggi untuk menjamin pengeluaran makanan negara yang mencukupi, berkualiti dan mapan.

Pekebun-pekebun yang menduduki di kawasan yang tidak sesuai untuk pertanian misalnya kawasan tadahan air, kawasan hutan, rizab sungai dan rizab jalan boleh dipindahkan ke tapak TKPM.

Bagi memastikan kegiatan pertanian yang lestari diusahakan, tapak projek akan dilengkapkan dengan keperluan infrastruktur asas serta menggunakan teknologi canggih seperti sistem perparitan dan saliran yang sempurna, sistem pengairan utama, jalan ladang yang sempurna, bekalan elektrik dan bekalan air.

Pemantauan yang berterusan dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memastikan kegiatan pertanian yang mesra alam, menghasilkan tanaman yang bermutu tinggi dan menggalakkan pembangunan rantaian bekalan makanan bersepadu.

TKPM boleh menyediakan jalan keluar untuk pekebun-pekebun yang telah diusirkan daripada tapak yang tidak sesuai untuk pertanian. Kita tidak perlu khuatir bahawa TKPM ini disalahgunakan oleh penceroboh atau peneroka haram kerana pemindahan ke TKPM hanya dihadkan kepada mereka yang telah menjalankan pertanian di Cameron Highlands sejak turun-temurun.

Dengan hasil tanaman yang bermutu tinggi, TKPM ini boleh menjadi teladan untuk semua kegiatan pertanian di Daerah Cameron Highlands seterusnya memulihkan kegemilangan dan kelestarian Cameron Highlands.