Tindakan PLUS mengenakan caj Penalti Perjalanan Melebihi Tempoh atau ‘Long Journey Time’ (LJT), bagi pengguna lebuhraya yang menggunakan lebuhraya tersebut melebihi masa ditetapkan adalah suatu perkara yang amat mengecewakan. Saya tidak nampak apa rasional pihak PLUS mengenakan caj tersebut selain daripada seolah-olah ingin mengaut keuntungan tambahan.
Menurut pengumuman PLUS melalui satu kenyataan baru-baru ini, pengguna lebuhraya hanya boleh berehat di hentian R&R tidak melebihi 138 minit. Suatu formula akan di gunakan untuk nengira caj penalti sekiranya pengguna berehat melebihi masa. Ini merupakan sesuatu yang sukar diterima. Pengguna jalanraya selalu di sarankan untuk berehat dengan secukupnya sebelum memandu dan jika berasa letih ataulun mengantuk, wajiblah seseorang pemandu itu berehat. Ini adalah untuk memastikan tidak berlaku kemalangan lalulintas.
Menurut ‘Petua Emas Keselamatan Jalan Raya’ bagi pemandu kereta yang disediakan oleh Kementerian Pemgangkutan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya, ‘rancang perjalanan terlebih dahulu. Jika mengantuk, tangguhkan perjalanan. Pastikan keadaan tayar, brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik’ merupakan petua pertama di antara 10 petua tersebut.
Pihak Menteri Pengangkutan dan Pengarah JKJR perlu menyatakan pendirian mereka masing-masing terhadap langkah ini. Adakah pihak PLUS mendapat kelulusan daripada Kementerian Pemgangkutan sebelum melaksanakannya?
Tambahan lagi, jika PLUS mengenakan penalti LJT ini terhadap pengguna yang menggunakan lebuhraya melebihi masa, adakah pengguna menerima sebarang pampasan ataupun rebat apabila berlaku kesesakan lebuhraya yang menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan masa yang lebih panjang untuk sampai ke destinasinya?
Saya menyeru pihak kementerian mengambil tindakan segera mengarahkan PLUS supaya membatalkan cadangan ini dengan kadar yang segera memandangkan ia tidak memanfaatkan pengguna lalulintas.