Skip to content

Capai 30,000 suntikan dos vaksin sehari ke arah Fasa 3 PPN

Kita mencapai kadar suntikan harian sebanyak 30,055 dos vaksin semalam (22 Julai 2021). Pencapaian terbaik setakat ini, syabas diucapkan kepada semua!

Dengan jumlah suntikan tersebut, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan bahawa Pulau Pinang berada pada kedudukan keenam berbanding negeri-negeri lain dalam negara. Sehingga jam 11:59 malam 22 Julai 2021 juga, pecahan menunjukkan bahawa Pulau Pinang telah menyempurnakan 571,164 dos suntikan pertama dengan kadar 32.2 peratus berbanding jumlah populasi dan 41.8 peratus bagi kadar populasi dewasa manakala bagi suntikan dos kedua (240,038; 13.5 peratus; 17.6 peratus).

Sehingga 21 Julai 2021, bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa seramai 207,607 rakyat Pulau Pinang telah menerima dos suntikan vaksin pertama dan kedua (27,229). Usaha ini giat diteruskan bagi memastikan bahawa Pulau Pinang berjaya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya mencapai imuniti kelompok.

Sehingga 23 Julai 2021, sejumlah 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam (termasuk empat buah hospital kerajaan) beroperasi di negeri ini selain PPV integrasi (2); PPV mega (1); PPV institusi pengajian tinggi (2); PPV hospital swasta (10) dan PPV pengamal perubatan am (58) yang dikhaskan untuk orang awam dengan kapasiti dos suntikan maksimum 20,830 sehari. Pada 26 Julai 2021, sebuah PPV pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut akan dibuka di Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari. Dalam pada itu, sebanyak sembilan (9) PPV bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) turut beroperasi kini dengan jumlah kapasiti 10,200 dos sehari. Ini membuktikan bahawa selain sektor industri, Kerajaan Negeri turut memberi keutamaan kepada pengoperasian PPV awam bagi vaksinasi rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh. (Rujuk Lampiran A).