Skip to content

Catatan markah terendah 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2021 menambah kepada senarai kegagalan Malaysia yang semakin panjang mengesahkan Malaysia menuju kepada negara gagal

Penurunan drastik 5 mata daripada 53 markah pada 2019 kepada 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021 menambah senarai kegagalan Malaysia yang menyedihkan yang mengesahkan persepsi yang semakin kuat tentang negara gagal seperti yang diketengahkan oleh Bloomberg dalam Julai 2021. Ini ditunjukkan dalam kedudukan Malaysia yang jatuh ke tempat ke-62 daripada tangga ke-57 pada 2020, kedudukan yang paling rendah pernah dicatatkan. Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar adalah antara negara Islam berprestasi terbaik dalam CPI, masing-masing dengan 69 mata dan 63 mata.

Kegagalan yang menyedihkan Malaysia termasuklah kegagalan dalam menguruskan pandemik COVID-19, ekonomi negara yang terus terperangkap dalam kemelesetan akibat siri “total lockdown” yang membawa bencana sehingga menyebabkan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion, krisis politik yang disebabkan oleh kepimpinan yang lemah dengan kerajaan yang tidak diundi rakyat, bencana banjir negara yang mengakibatkan lebih 55 nyawa terkorban dan RM20 bilion kerugian ekonomi dan kini skandal rasuah.

TI Malaysia (TI-M) berkata walaupun Malaysia telah melancarkan Pelan Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACP) pada 2019, ini tidak bermakna jika ia tidak dilaksanakan atau dikuatkuasakan serta tidak disertai dengan reformasi institusi yang dijanjikan, antaranya Undang-undang Anti Lompat Parti. Ini adalah salah satu sebab mengapa pemimpin PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri untuk secara segera meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti menjelang sidang parlimen pada Mac 2022, untuk mengelakkan pembelotan melalui “pembelian” oleh wakil rakyat yang dipilih dan pengkhianatan mandat pengundi.

TI-M juga menyebut mengenai pelantikan ahli politik tanpa pengalaman mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kemajuan terhad atau maklumat terkini awam mengenai kes berprofil tinggi, kekurangan tindakan terhadap pegawai awam yang didapati menyalahgunakan jawatan mereka dan keperluan untuk mereformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadikannya benar-benar bebas dan meletakkannya di bawah bidang kuasa Parlimen serta melindungi pemberi maklumat yang tidak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Jelas sekali SPRM bukan sebahagian daripada penyelesaian tetapi sebahagian daripada masalah. SPRM bukan sahaja dijadikan senjata politik terhadap ahli politik pembangkang, malah pegawai tinggi SPRM juga terpalit dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. Siasatan dan ancaman pendakwaan oleh SPRM bagi tuduhan rasuah ditujukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang tetapi kemudian secara ajaib hilang selepas mereka berpaling tadah untuk menyokong Perdana Menteri.

Fakta bahawa SPRM adalah sebahagian daripada masalah tidak dapat disorok lagi dengan keengganan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mengambil cuti dan membenarkan panel penyiasat bebas dan boleh dipercayai untuk mencari kebenaran daripada cubaan menutup skandal yang melibatkan akaun dagangan sahamnya. Azam enggan memberi penjelasan terhadap kekayaannya yang tidak dapat dijelaskan melibatkan berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit dan jumlah luar biasa saham yang diniagakan.

Melainkan Azam menjelaskan sepenuhnya mengapa dia berbohong bahawa adiknya mengendalikan akaun dagangan sahamnya secara proksi serta sumber dana untuk menjalankan urus niaga saham yang sebegitu besar, indeks TI-CPI Malaysia tidak akan bertambah baik. Penurunan mendadak dalam kedudukan dan prestasi Malaysia dalam memerangi rasuah pada 2021 tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup tipu helah pemilikan saham yang melibatkan ketua pencegah rasuah SPRM Azam Baki. Dengan mengambil kira skandal saham Azam Baki, kedudukan TI-CPI Malaysia akan terus merosot pada 2022.