CEC DAP dalam mesyuaratnya pada 7 April 2014 dengan berat hati menerima keputusan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP sehingga kes mahkamah beliau selesai. Karpal sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengenakan denda RM4,000 kepadanya atas kesalahan menghasut, pada 11 Mac lalu, yang secara langsung menghilangkan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor serta menghalang beliau daripada memegang sebarang jawatan politik.
Meskipun Karpal telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP lantaran mematuhi Akta Pertubuhan, CEC DAP membuat keputusan sebulat suara untuk mengosongkan kedudukan tersebut dan menanti kepulangan Karpal. Buat sementara waktu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai akan memangku jawatan Pengerusi Kebangsaan. DAP turut mengecam Jabatan Peguam Negara kerana memfailkan rayuan balas kepada Mahkamah Rayuan supaya Karpal dikenakan hukuman yang lebih berat.
Mahkamah Rayuan boleh mengenakan denda maksima RM5,000 atau penjara maksima tiga tahun. Ini akan menyebabkan Karpal dipenjara serta menamatkan kerjaya politik beliau, suatu impian pemimpin BN sejak sekian lama. Kehendak untuk memenjarakan Karpal dengan apa cara sekalipun jelas menunjukkan terdapat arahan politik demi melampiaskan keinginan pemimpin UMNO dan tidak memperlihatkan sebarang komitmen untuk menghormati hak asasi manusia, keadilan mahupun kebebasan berpendapat dan bersuara.
DAP juga berasa kesal dengan tindakan Jabatan Peguam Negara yang nampaknya telah mengorbankan profesionalisme mereka dengan menyumberluar tugas-tugas pendakwaan demi memberi perkhidmatan yang lebih serta merealisasikan impian tuan-tuan politik mereka. DAP sedang mencabar Pendaftar Pertubuhan (ROS) atas kegagalan mengiktiraf jawatankuasa parti yang dipilih September tahun lalu.
Pelantikan peguam UMNO, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili ROS dalam tindakan sivil oleh DAP tentang pemilihan parti, adalah ekoran kepada lantikan Muhammad Shafee oleh pihak Jabatan Peguam Negara dalam kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah Jabatan Peguam Negara begitu kekurangan peguam yang profesional dan mahir sehinggakan terpaksa membayar orang luar untuk menangani lawan politik BN?
Pelantikan Tan Sri Muhammad Shafee adalah petunjuk bahawa BN sedang berusaha keras untuk menghabiskan bukan sahaja Karpal malah juga DAP. Parti DAP harus bersatu padu dan sentiasa menumpukan perhatian untuk mempertahankan Karpal dengan bersungguh-sungguh serta melawan apa sahaja cubaan oleh badut-badut BN untuk melemahkan dan membatalkan pendaftaran parti.