Skip to content

CEC DAP secara sebulat suara memutuskan untuk menolak kesemua empat ADUN Kerajaan Melaka yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka ketika itu Sulaiman Md Ali, untuk dicalonkan sebagai calon PH bagi pilihan raya negeri akan datang pada 20 November 2021

Pada mesyuarat malam tadi, CEC DAP secara sebulat suara memutuskan untuk menolak kesemua empat ADUN Kerajaan Melaka yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka ketika itu Sulaiman Md Ali, untuk dicalonkan sebagai calon PH bagi pilihan raya negeri akan datang pada 20 November 2021. Presiden PKR Anwar Ibrahim secara terbuka menyatakan bahawa dua daripada empat ADUN daripada UMNO masih dipertimbangkan.

Jelas bahawa DAP hanya berjaya meyakinkan sekutu kami dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat Adun tersebut sebagai calon PH dalam pilihan raya negeri Melaka, manakala dua masih dipertimbangkan. DAP terus konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti kami bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan “kleptokrat, oportunis dan penyangak” untuk mengekalkan dan tidak kehilangan ketinggian nilai moral.

Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan. Walau bagaimanapun, matlamat itu tidak membenarkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui.

Malangnya, DAP sebelum ini telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah, dan terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa keputusan majoriti yang dibuat sebelum ini adalah betul. DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata.

Pakatan Harapan tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon Pakatan Harapan pada pilihan raya negeri Melaka.