Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin membidas Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sambil menegaskan bahawa persoalannya mengenai peruntukan dan perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertujuan memastikan kebertanggungjawaban dalam penggunaan wang awam serta pengawasan Parlimen, dan tidak berkaitan dengan sentimen peribadi.
“Saya tidak berminat dengan Wee Ka Siong. Beliau jangan perasan. Dari awal hingga akhir, saya mempersoalkan isu, bukan menyerang peribadi. Wee sepatutnya menjawab persoalan mengenai peruntukan dan bajet tambahan, bukannya menjadikan pertikaian mengenai kewangan awam sebagai perselisihan peribadi.”
Chong berkata, ketika berucap di Dewan Rakyat, Wee menyatakan bahawa setiap ringgit tambahan perlu mendapat persetujuan Kementerian Kewangan (MOF) dan dimasukkan dalam bajet tambahan. Namun, dalam respons selepas itu, Wee masih tidak menjelaskan bajet tambahan manakah bagi KKDW yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen sepanjang 2023 hingga 2025.
Menurutnya, selepas menyemak dokumen belanjawan dan rekod Parlimen, beliau tidak menemui bajet tambahan KKDW bagi tiga tahun berkenaan yang melibatkan perbelanjaan lebihan tersebut. Justeru, beliau meminta Wee mengemukakan dokumen khusus yang menyatakan tarikh pembentangan, jumlah yang diluluskan serta butiran peruntukan terlibat.
“Dari awal hingga akhir, Wee tidak menjawab secara langsung sama ada KKDW memperoleh bajet tambahan. Ini berbeza daripada gambaran yang diberikan melalui ucapannya di Dewan Rakyat. Adakah selepas membuat semakan, beliau baru menyedari bahawa sebenarnya tiada bajet tambahan berkaitan seperti yang dimaksudkannya bagi tiga tahun tersebut?”
Chong menegaskan bahawa penerangan mengenai prosedur kewangan secara umum tidak membuktikan bahawa prosedur tersebut benar-benar dipatuhi bagi perbelanjaan lebihan berkenaan. Wee perlu menjelaskan peruntukan dan perbelanjaan yang dipersoalkan secara khusus, bukannya menggantikan fakta dengan penerangan umum mengenai prosedur.
Beliau seterusnya berkata, jika Wee bertegas bahawa KKDW hanya menambah peruntukan selepas mendapat kelulusan MOF, beliau perlu menjelaskan kenyataan terdahulu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa ramai kontraktor sudah menyiapkan kerja tetapi masih belum menerima bayaran.
“Perbelanjaan Jalan Luar Bandar (JALB) sudah melebihi peruntukan asal. Mengapa kontraktor masih boleh meneruskan kerja? Siapakah yang meluluskan kerja diteruskan? Sebelum arahan memulakan kerja dikeluarkan, adakah peruntukan mencukupi dan semua kelulusan yang diperlukan sudah diperoleh?”
Katanya, kelulusan projek, kelulusan peruntukan dan pembayaran merupakan peringkat yang berbeza. Wee tidak boleh sekadar menyatakan bahawa semuanya “mesti mendapat kelulusan MOF” untuk mengelak persoalan mengapa kerja dilaksanakan terlebih dahulu, mengapa bayaran belum dibuat dan sama ada komitmen berkenaan melebihi peruntukan tahunan.
“Jika arahan memulakan kerja dikeluarkan sebelum kelulusan MOF yang diperlukan diperoleh dan peruntukan disediakan, KKDW mesti menjelaskan siapa yang bertanggungjawab. Jika Wee bertegas bahawa semua kelulusan dan peruntukan sudah tersedia, bagaimana beliau menjelaskan kenyataan Zahid bahawa kontraktor sudah melaksanakan kerja tetapi masih belum menerima bayaran?”
“Adakah KKDW mengarahkan kontraktor memulakan kerja sebelum mendapat kelulusan, atau kenyataan Zahid tidak benar? Adakah Wee sedang membayangkan bahawa Zahid berbohong? Jika beliau berpendapat ada sebab lain, sila kemukakan dokumen kelulusan, rekod peruntukan dan jadual pembayaran untuk memberikan penjelasan kepada Parlimen serta orang ramai.”
Chong berkata, beliau telah mengutus surat untuk membawa perkara tersebut kepada perhatian Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta mengemukakan notis usul secara rasmi bagi merujuk Wee ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12), berhubung kenyataannya yang didakwa mengelirukan Dewan.
Beliau menegaskan bahawa persoalan sama ada kenyataan tersebut mengelirukan Dewan perlu diteliti mengikut prosedur Parlimen, manakala Wee bertanggungjawab mengemukakan asas fakta bagi ucapannya di dalam Dewan.
“Pendirian saya jelas. Bagaimana wang awam diluluskan, bagaimana projek dilaksanakan dan mengapa kontraktor belum menerima bayaran, semuanya mesti dijelaskan. Jika Wee mahu mempertahankan KKDW, sila jawab persoalan ini dan jangan terus mengalihkan perhatian.”