Semalam pagi Pemuda MCA telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendesak siasatan penuh terhadap projek MyKiosk. Namun begitu sesuatu yang amat mengejutkan ialah ketiadaan Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon dalam tindakan penting ini. Ketidakhadirannya menimbulkan persoalan besar mengenai kesahihan dan kelayakan beliau untuk terus memimpin sayap pemuda parti.
Ling Tian Soon kini memegang dua jawatan iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor dan Ketua Pemuda MCA. Berdasarkan prinsip sistem Westminster sebagai ahli kabinet negeri beliau seharusnya menyokong keputusan dasar secara kolektif yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan. Jika beliau bersetuju dengan kritikan Pemuda MCA terhadap projek MyKiosk maka beliau perlu meletak jawatan sebagai Exco demi menunjukkan pendirian yang konsisten. Jika beliau lebih mementingkan jawatan dan enggan melepaskan kedudukan sebagai Exco maka beliau patut berundur sebagai Ketua Pemuda MCA kerana beliau sudah kehilangan legitimasi untuk terus mengetuai pemuda MCA.
Ling Tian Soon Perlu Pilih Sama Ada Exco atau Ketua Pemuda MCA
Ling tidak boleh berada di dua posisi bertentangan pada masa yang sama. Beliau tidak boleh menjadi pembuat dasar dalam kerajaan dan dalam masa yang sama bertindak seperti ahli pembangkang. Tidak wajar seseorang menggubal dasar dari dalam tetapi kemudiannya menyerang dasar yang sama dari luar. Pendekatan dua muka ini hanya akan mengelirukan rakyat dan melemahkan kepercayaan terhadap inisiatif kerajaan. Saya menyeru Ling Tian Soon agar meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan menjelaskan pendiriannya dan menunjukkan integriti sebagai seorang pemimpin awam.
Saya juga menolak dakwaan beliau bahawa cadangan penangguhan sementara peruntukan kepada ketua kampung MCA adalah satu bentuk dendam politik. Sebaliknya langkah ini diambil untuk mengelakkan situasi di mana ketua kampung MCA mencipta masalah dalam pelaksanaan projek kampung baru kemudian menuding jari menyalahkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Kita sudah pun lihat tindakan serupa dilakukan oleh ahli majlis MCA yang menerima dana daripada kementerian di bawah program MyKiosk tetapi kemudiannya memfitnah kementerian yang membantu mereka.
Cadangan Salurkan Dana Terus Melalui Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru Kebangsaan
Saya mencadangkan agar kementerian terus menyalurkan dana pembangunan kepada kampung baru tetapi tanpa melalui saluran ketua kampung MCA. Sebaliknya dana boleh disalurkan terus melalui Bahagian Kampung Baru pihak berkuasa tempatan atau Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru Kebangsaan bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan manipulasi politik. Ini akan membolehkan projek kampung dilaksanakan secara telus dan terbuka demi rakyat.
Saya turut mendesak Ling Tian Soon menyatakan dengan jelas pendirian beliau. Sebagai Exco Johor adakah beliau menyokong projek MyKiosk yang dilaksanakan dengan peruntukan daripada kementerian dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor. Beliau perlu hentikan tindakan memesongkan isu dan menjelaskan konflik antara dua peranan yang sedang dipegangnya.