Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan “bukan Melayu tidak boleh memegang kuasa” adalah pandangan yang sangat mengecewakan dan tidak boleh diterima dalam sebuah negara demokrasi yang berbilang kaum seperti Malaysia.
Malaysia adalah milik semua rakyat. Setiap warganegara, tidak kira bangsa atau agama, berhak mendapat peluang yang adil untuk menyumbang, memimpin dan membina masa depan negara ini. Kuasa pemerintahan tidak seharusnya ditentukan berdasarkan kaum, tetapi melalui pilihan rakyat dalam sistem demokrasi yang bebas dan adil.
Tun Mahathir mengatakan bahawa bukan Melayu tidak sepenuhnya menganggap Malaysia sebagai tanah air mereka. Saya sangkal keras kenyataan itu. Ramai rakyat bukan Melayu telah lahir, membesar, belajar, bekerja, membayar cukai, berkhidmat dan berkorban untuk negara ini. Kita adalah rakyat Malaysia yang setia dan cinta akan tanah air ini.
Kenyataan beliau bukan sahaja memecah-belahkan rakyat, tetapi juga menghina semangat muhibah dan perpaduan yang telah kita bina bersama. Saya ingin tegaskan, sudah tiba masanya kita bergerak ke hadapan dan meninggalkan politik perkauman yang lapuk dan memecah-belahkan.
Sebagai seorang pemimpin muda, saya percaya bahawa masa depan Malaysia terletak pada kebolehan, integriti dan semangat perpaduan rakyat bukan pada warna kulit atau asal keturunan.
Saya menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk menolak politik kebencian dan perkauman. Mari kita bina Malaysia yang adil, inklusif dan benar-benar bersatu, di mana semua anak bangsa boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.