Setiausaha Agung DAP, Sdr Anthony Loke Siew Fook secara terbuka semalam telah menolak dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang Sdr Chow Kon Yeow bahawa terdapat plot yang dicatur dari dalam dan luar parti untuk menggantikan beliau. Dengan tegas, Loke memberikan kenyataan bahawa tidak pernah timbul isu bagi menggantikan Chow sebagai Ketua Menteri dan ini sepatutnya menoktahkan ura-ura bagi menjatuhkan beliau yang dimulakan secara tiba-tiba oleh Chow sendiri. Sehingga ke hari ini, Chow masih lagi tidak memberikan sebarang bukti bahawa terdapat plot yang diaturkan oleh ahli-ahli DAP untuk menjatuhkan beliau.
Sehingga kini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin ataupun ahli parti di Pulau Pinang yang terlibat di dalam usaha untuk menjatuhkan Chow sebagai Ketua Menteri. Dakwaan tidak berasas seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir kerajaan perpaduan di negeri ini secara cekap, amanah dan telus. Sekiranya Chow mempunyai bukti, seharusnya bukti tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin.