Skip to content

Contohi Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang, Johor wajar perluaskan perkhidmatan bas percuma untuk rakyat

Apabila Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Barisan Nasional menaikkan harga petrol pada 1hb Julai 2015, Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan tiga laluan baru perkhidmatan bas percuma yang dipanggil “Bas Percuma Selangorku” untuk manfaat rakyat tempatan .

Pelancaran projek mesra rakyat ini dilancarkan semalam oleh Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim (Ahli MMKN Selangor untuk Pelaburan dan Pengangkutan, DAP) di tiga kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Menurut laporan, perbelanjaan yang terlibat adalah sebanyak RM 3.6 juta setiap tahun dan ia ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru Kerajaan Negeri Johor supaya mengambil langkah segera mencontohi Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan perkhidmatan bas di bandar-bandar dan pekan-pekan utama di negeri Johor secepat mungkin. Sebagai wakil rakyat kawasan Mengkibol, Kluang, saya mencadangkan supaya diwujudkan perkhidmatan bas komuniti yang baru di bawah pembiayaan Majlis Perbandaran Kluang untuk manfaat seluruh warga Kluang.

Semenjak Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan Bas Percuma C.A.T. di Georgetown pada Januari 23, 2009, konsep perkhidmatan bas
percuma semakin meluas di seluruh negeri. Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di ibu kota semakin berkembang, selepas itu Petaling Jaya
mengadakan PJ Free Bus, dan kini pula diulangi di Shah Alam, Subang Jaya dan Klang. Di Johor pada Julai tahun lepas, perkhidmatan Bas Percuma antara Terminal Bas Larkin dan Bandaraya Johor Bahru juga
telah diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Tahap penggunaan pengangkutan awam di seluruh negera masih sangat rendah, termasuk di Kluang. Mengikut kajian, untuk setiap sepuluh perjalanan, hanya satu sahaja dilaksanakan dengan kenderaan
pengangkutan awam. Daripada perbualan dengan warga tempatan Kluang termasuk anak-anak muda, rata-rata mereka menyatakan keinginan untuk mencuba menggunakan pengangkutan awam sekiranya tahap perkhidmatan dapat dipertingkatkan. Kebergantungan kita pada kereta dan motosikal hari ini adalah kerana dasar kerajaan sejak selama ini yang mengabaikan pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan awam dan
tiadanya usaha dalam memupuk budaya mengambil pengangkutan awam sejak awal.

Dengan ini, saya mencadangkan satu laluan perkhidmatan Bas Komuniti Kluang (BKK) sepanjang lebih kurang 10km sehala sebagai projek perintis di bawah Majlis Perbandaran Kluang (MPK). Laluan BKK01 ini melalui tempat-tempat kemudahan utama di Bandar Kluang termasuklah Hospital Enche’ Besar Khalsom, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Stesen
Keretapi Kluang, Klinik Kesihatan, Hentian Bas Kluang, Kluang Mall dan juga kawasan perdagangan dan perumahan (sila rujuk Lampiran 1).

Laluan ini dipilih kerana buat masa kini Hospital Besar, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat-pejabat Kerajaan tidak disambung dengan apa-apa perkhidmatan bas. Khususnya untuk Hospital Besar yang terletak agak berjauhan di pinggir bandar, adalah sukar dan membebankan bagi rakyat biasa untuk berkunjung ke situ. Ada banyak kes di mana warga emas yang sakit dan tidak memiliki ataupun tidak berdaya memandu kenderaan menghadapi kesukaran untuk menerima rawatan di hospital. Tambahan pula, hospital merupakan pusat pekerjaan utama di Kluang di mana kakitangan yang berkhidmat di situ mencecah ratusan orang. Perkhidmatan bas yang cekap dan percuma amatlah diperlukan.