Skip to content

COVIDNOW, sistem pelaporan baru yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam, adalah perkembangan yang dialu-alukan

COVIDNOW, sistem pelaporan baru yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam, adalah perkembangan yang dialu-alukan bukan sahaja untuk meningkatkan ketelusan tetapi juga memberikan data masa nyata, terkini dan terperinci yang dapat membantu mensasarkan hotspot COVID-19. DAP memuji pasukan empat orang pembangun data di belakang laman sesawang ini – Henry, Calum Lim, Lim Sheng Han, dan Roshen Maghhan, yang menawarkan khidmat dan kepandaian mereka secara sukarela.

Usaha mereka tidak boleh disia-siakan tetapi data terperinci harus dikaji dan dianalisa dengan tindakan yang bersasar. Sekiranya data COVIDNOW disusuli dengan tindakan segera, ini memberikan harapan bahawa pendekatan keseluruhan masyarakat yang melibatkan semua segmen masyarakat dapat ikut serta untuk menang dalam pertempuran melawan COVID-19.

Sebagai contoh, Pulau Pinang melaporkan rekod tragis tertinggi baru sebanyak 47 kematian pada 9 September dengan 2,243 kes. COVIDNOW mendedahkan bahawa Pulau Pinang mempunyai jangkitan per kapita tertinggi di negara ini. Data sepanjang 2 minggu lepas menunjukkan bahawa Pulau Pinang menduduki tempat pertama di negara ini dengan 14.3 kes per seribu penduduk tertinggi, berbanding purata nasional sebanyak 8.5 kes. Jumlah kematian per seratus ribu penduduk di Pulau Pinang juga meningkat naik dengan 19.2 kematian, yang ketiga tertinggi di negara ini, berbanding dengan purata nasional pada 13.1 kematian.

Penggunaan ventilator di Pulau Pinang juga merupakan yang kedua tertinggi di Malaysia iaitu 59.1% berbanding dengan purata nasional pada 37.5%. Kadar penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pulau Pinang adalah yang kedua tertinggi di negara ini iaitu 98.2%, berbanding purata nasional 78.4%. Statistik yang suram ini memberi petanda kepada jumlah kematian yang lebih tinggi di Pulau Pinang dalam beberapa hari akan datang.

Kadar positiviti bagi Pulau Pinang pada 16.02% dalam tempoh 7 hari berakhir 6 September adalah 3 kali ganda lebih tinggi daripada saranan 5% oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini bukan sahaja menunjukkan kekurangan ujian yang menyeluruh malah jangkitan berlaku di dalam komuniti dan keadaan mungkin akan bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik.

Terdapat keperluan mendesak bagi Kerajaan Persekutuan untuk mencurahkan sumber serta tenaga kerja, ubat-ubatan, lebih banyak katil ICU dan kemudahan untuk merawat pesakit yang sakit kepada hospital-hospital kita yang sedang tertekan bagi melindungi keselamatan kakitangan dan pesakitnya. Pulau Pinang juga perlu memanfaatkan kelebihan daya saing kita iaitu memiliki sektor perubatan swasta terbaik di Malaysia dengan memanfaatkan kepandaian, kemahiran dan kepakaran mereka.

Rakyat Pulau Pinang mengharapkan berita baik apabila Khairy membuat lawatan rasmi ke Pulau Pinang esok. Mungkin ada ruang bersama bagi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kebaikan rakyat demi kemenangan dalam pertempuran menentang COVID-19 bersama-sama demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.